MP Baram dari Parti Progesif Demokratik Sarawak (SPDP) Anyi Ngau mengumumkan untuk kekal bersama parti tersebut dan tidak akan menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) seperti dilaporkan sebelum ini.

Jelasnya, beliau menyokong pemangku presiden parti itu sekarang, Datuk Seri Tiong King Sin.

"Saya masih bersama SPDP dan saua masih wakil rakyat BN untuk P220 (Baram).

"Saya masih tidak memohon untuk menyertai mana-mana parti dan saya harap ini akan menjelaskan khabar-khabar angin sebelum ini.

"Saya sokong perdana menteri, ketua menteri dan pemangku presiden SPDP," katanya pada sidang media ringkas di lobi Parlimen hari ini.

Ditanya tentang kehadirannya pada satu majlis penyertaan ke dalam TERAS pada 16 Mei lalu, Anyi enggan mengulas perkara itu dan mahu isu berkenaan "berhenti di situ sahaja".

"Bolehkah kita berhenti di situ sahaja?... Saya akan berhenti di situ sahaja," katanya berulang kali sewaktu ditanya wartawan tentang perkara itu.

Anyi merupakan antara 10 orang ahli politik SPDP dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang dilapor meninggalkan parti mereka untuk menyertai TERAS, pada 15 Mei lalu.