Peguam asak saksi isu 'isteri' Mejar Zaidi
dikemaskini Seorang saksi pendakwaan diasak bertalu-talu oleh peguam Mejar Zaidi Ahmad atas kenyataannya di mahkamah tentera semalam, yang berbeza dengan keterangan sewaktu siasatan 28 Ogos 2013.
Peguam Hanipa Maidin meminta Laskar Udara Kanan (LUK) Mohd Zunaidy Muchtar menjelaskan mengenai identiti wanita yang hadir bersama Zaidi sewaktu pegawai tersebut membuat laporan polis pada 1 Mei 2013.
Menurut Hanipa, Mohd Zunaidi dalam "cabutan keterangan" bertarikh 28 Mei 2013 mengenalpasti wanita tersebut sebagai isteri kepada Zaidi.
Bagaimanapun, Mohd Zunaidi hanya merujuk wanita tersebut sebagai "wanita tidak dikenali" ketika memberi keterangan di mahkamah semalam.
Hanipa: Semalam LUK ada menyatakan semasa berada di restoran, di bawah khemah, nampak seorang lelaki dan wanita bersama Mejar Zaidi.
Kalau tidak tahu perempuan tersebut, mengapa dalam cabutan keterangan, LUK Mohd Zunaidy menyatakan, dalam cabutan keterangan bertarikh 28 Ogos 2013 yang ditandatangani, ada dinyatakan beberapa kali Mejar Zaidi bersama isteri?
Maka pada 28 Ogos, dah tahu dah Mejar Zaidi bersama isteri, mengapa semalam tak ada dinyatakan langsung tentang isteri?
Bukankah ini menunjukkan LUK tak bercakap benar?
Zunaidy: Sebab saya tak kenal isteri dia.
Hanipa: Macam mana semalam kata tak kenal, 28 Ogos kata tahu LUK.
Maka salah satu mesti tak betul, betul (atau tidak)?
Zunaidy: Kenyataan saya tetap seorang perempuan tak dikenali juga, semua adalah betul.
Hanipa: Boleh terangkan kepada mahkamah kenapa ada perbezaan itu?
Zunaidy: (Diam selama kira-kira 30 saat) Kenyataan saya memang seorang perempuan tak dikenali.
Saya tak dapat huraikan.
Kalau isteri atau perempuan tak dikenali, tetap sama.
Hanipa: LUK, ini mahkamah, bukan kedai kopi. Mesti adalah, salah satu daripada ini yang bohong.
Hanipa terus mempersoalkan kredibiliti saksi berkenaan dengan kenyataan yang tidak konsisten itu dengan satu lagi bukti siasatan – rakaman video percakapan Zaidi semasa sidang media 1 Mei 2013.
Menurut kenyataan saksi pertama perbicaraan semalam, rakaman oleh Zunaidy tersebut dipadamkannya selepas ia dipindahkan ke dalam komputer riba milik Jabatan Arah Provos Marsyal TUDM.
Hanipa: Sekejap cakap isteri, sekejap cakap perempuan tak dikenali, awak boleh ubah.
Takkan video awak tak boleh ubah. Boleh percayakah awak ini?
Zunaidy: Boleh.
Jawapan Zunaidy itu menyebabkan kira-kira 30 orang hadirin di galeri awam ketawa kecil.
Pegawai pendakwa Mejar Ahmad Azam Soip seterusnya meminta Zunaidy menjelaskan mengenai keterangannya yang berbeza mengenai identiti seorang wanita berkenaan.
Ahmad Azam: Boleh terangkan kenapa jadi begitu (dua kenyataan berbeza)?
Zunaidy: Tak dapat memastikan pada hari kejadian, isteri atau bukan pada masa kejadian.
Pasukan pendakwaan hari ini turut Mejar Ahmad Sanusi Ali dan Kapten Ross Anuar Aripin.
Mahkamah tentera menetapkan kes disambung semula pada 14 hingga 16 Julai.

