Seorang saksi memberitahu mahkamah tentera bahawa Mejar Zaidi Ahmad melakukan kesalahan kerana membuat laporan polis ketika memakai pakaian tentera.

Laskar Udara Kanan Mohd Zunaidy Muchtar Ahmad ketika ditanya pegawai pendakwaan berkata anggota tentera melakukan kesalahan jika membuat laporan polis ketika memakai pakaian seragam tentera.

Mohd Zunaidy berkata demikian ketika ditanya oleh Mejar Ahmad Azam Soip dari pendakwaan

Ahmad Azam: Rakan saya yang bijaksana (Hanipa), kata dari awal tindakan Mejar Zaidi (buat laporan polis) bukan satu kesalahan, tapi kamu kata tidak. Boleh kamu jelaskan?

Zunaidy: Dia memperkenalkan diri kepada wartawan dengan memakai uniform nombor tiga.

Zunaidy sebelumnya turut ditanya Hanipa jika beliau ada membaca laporan polis yang dibuat Zaidi dan jika beliau betul-betul pasti Zaidi bercakap pada satu 'sidang media'.

Hanipa: Ada tak awak baca laporan polis dia?

Zunaidy: Tak.

Hanipa: Ada tak apa-apa keterangan yang awak nampak Mejar Zaidi bercakap pada media, "Saya akan buat sidang media".

Zunaidy: Tak ada.

Hanipa: Jadi saya katakan, apa yang dikatakan sebagai sidang media sebagai anggapan awak semata-mata.

Zuniady: (Ia berdasarkan) analisis saya sebagai pengintip.

Zunaidy yang merupakan saksi kedua dalam perbicaraan ini adalah seorang detektif TUDM di bahagian Keselamatan Fizikal dan Pencegahan Jenayah TUDM.

Semalam beliau mengaku melihat Zaidi menunjukkan jarinya dengan sisa dakwat kekal kepada wartawan pada 1 Mei 2013.

Mejar Zaidi didakwa dengan tujuh tuduhan bawah Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972.

Jika sabit kesalahan, Zaidi berdepan hukuman maksimum dua tahun penjara atau mana-mana hukuman lebih ringan termasuk dibuang kerja.

Pendakwaan dilakukan oleh Mejar Ahmad Sanusi Ali, Mejar Ahmad Azam Soip, dan Kapten Ross Anuar Aripin.

Zaidi pula diwakili barisan peguam Hanipa Maidin, Nasar Khan Mirbaz Khan dan Aminuddin Zulkipli.