dikemaskini Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata cadangan PAS agar kerajaan negeri menghapuskan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak diberi keutamaan buat masa ini.

Khalid berkata, Selangor perlu menumpukan pada usaha untuk menyelesaikan isu rampasan Bible oleh agensi pelaksana MAIS, Jabatan Agama Islam Selangor (MAIS) terlebih dahulu.

"Kita akan menyelesaikan masalah ini (Bible) dahulu sebab saya tak nampak perkara ini (hapus kuasa MAIS) perlu diberikan keutamaan," katanya ketika ditemui pemberita petang ini di Shah Alam.

Katanya, beliau juga gembira dengan hasil perbincangan "memberangsangkan" dengan Sultan Selangor, berhubung rampasan naskhah Bible tersebut.

Katanya, isu tersebut dibangkitkan ketika beliau mengiringi baginda ke persidangan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu kali Ke-235 di Istana Negara hari ini.

Tambahnya, beliau turut berbincang dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang ditemuinya di sekitar majlis mesyuarat tersebut.

Ketika ditanya, Khalid bagaimanapun enggan mendedahkan butiran perbincangan tersebut.

Menurutnya lagi, beliau akan menghadap baginda sekali lagi esok untuk membincangkan perkara itu dengan lebih mendalam.

Katanya, selepas perbincangan dengan baginda, beliau akan berjumpa dengan Bible Society of Malaysia (BSM) dan akan membuat pengumuman tentang hasil perbincangan sama ada akan memulangkan naskhah Bible tersebut atau sebaliknya.

"Saya akan menghadap Tuanku esok dan saya akan dapatkan penyelesaian muktamad supaya saya dapat berjumpa BSM nanti," katanya pada sidang media selepas penangguhan sidang dewan negeri hari ini.