Abdullah Zaik tak gentar tuduhan hasutan
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, istilah "penceroboh" yang menyebabkan beliau dituduh di mahkamah hari ini bukan diniatkannya untuk menghasut mana-mana pihak.
Bercakap kepada pemberita selepas dibebaskan dengan ikat jamin pagi ini, Abdullah Zaik berkata istilah berkenaan disebutnya bagi mengingatkan fakta sejarah.
"Perkataan penceroboh digunakan bukan untuk menuduh dan bukan untuk menghasut mana-mana pihak tetapi memberikan peringatan akan fakta yang kita tak seharusnya lupa.
"Dalam kita menggariskan masa depan negara, kita juga harus melihat kepada kerangka lampau," katanya yang mengaku tidak gentar dengan dakwaan menghasut yang dihadapinya.
Katanya beliau juga akan terus bercakap tentang hal berkaitan Melayu dan Islam.
'ISMA bukan tajaan kerajaan'
"Ini merupakan satu usaha daripada pihak tertentu untuk halang kami bercakap benar daripada menyuarakan pandangan daripada pihak umat Islam dan orang Melayu tentang hak mereka secara merdeka.
"(Kami) mewakili golongan yang cintakan kemuliaan diri yang ingin menjunjung tinggi kedaulatan negara dan juga bangsa," katanya.
Tegasnya, dakwaan ke atasnya hari ini juga menunjukkan bahawa ISMA tidak ditaja oleh kerajaan atau dilindungi perdana menteri.
"Bagi mereka termasuklah media dan sebagainya yang cuba menuduh ISMA selama ini alat kepada kerajaan atau Umno, (dakwaan ini) tunjukkan secara jelas PM dan kerajaan tak lindungi ISMA dan segala dakwaan semuanya tak benar belaka," katanya.
Beliau secara sinis turut menjemput bekas pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan dan pertubuhan Lawyers for Liberty (LFL) untuk "turun ke jalan raya" bagi menggesa agar tuduhan terhadapnya ditarik balik.
Katanya, Ambiga dan LFL harus berbuat demikian benar-benar mahu Akta Hasutan 1948 dimansuhkan.
"Saya menjemput mereka juga untuk mengambil bahagian kerana mereka juga menuntut undang-undang ini dihapuskan.
"Kalau nak turun jalan raya juga boleh untuk menuntut kerajaan menarik balik tuduhan.
"Jadi saya nak lihat mereka tidak bersikap talam dua muka," katanya.

