Walau rata-rata pemimpin DAP menyatakan sokongan bulat ke atas rancangan melantik Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar, masih timbul lagi suara yang berpendapat sebaliknya.

Laporan Berita Harian hari ini menonjolkan pandangan naib pengerusi DAP, Senator Ariffin Omar yang menyifatkan rancangan tersebut sebagai usaha yang tidak masuk akal.

Menurutnya, kepentingan rakyat harus dititik beratkan dalam pelantikan mana-mana individu bagi mengisi jawatan itu.

Ariffin ketika dihubungi Malaysiakini hari ini bagaimanapun menjelaskan bahawa ia adalah pandangan peribadinya dan beliau tetap menyokong jika DAP mahu Wan Azizah dilantik menjadi menteri besar.

“Saya tak buat sebarang ulasan atas kapasiti saya sebagai naib pengerusi DAP.

"Apa-apa sekalipun pandangan saya, jika parti saya sokong (untuk menukar MB), saya akan bersama parti saya,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam kenyataannya terdahulu yang dipetik dalam laporan Berita Harian , Ariffin juga berkata beliau sebelum ini tidak pernah bersetuju projek “Langkah Kajang” - pengosongan kerusi DUN Kajang untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

"Ini bukan soal politik (pelantikan Wan Azizah), ia soal kepentingan rakyat Selangor, itu yang harus diambil kira.

"Jika dibincang dari sudut politik, ia juga tidak masuk akal," katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

"Saya juga sama sekali tidak setuju dengan tindakan PKR mengadakan Langkah Kajang," katanya.

Projek Langkah Kajang itu pada awalnya diusahakan bagi membolehkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi wakil rakyat di Selangor dan seterusnya menjadi menteri besar.

Terkini, percaturan politik itu diteruskan apabila PKR dan DAP bersetuju Presiden PKR, Wan Azizah yang menggantikan Anwar dalam pilihan raya kecil Kajang, dilantik menjadi menteri besar Selangor.