Krisis PKR renggangkan lagi puak dalam PAS
Perselisihan dalam PKR berhubung krisis pertukaran Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim kini semakin parah. Dan tempiasnya turut melanda PAS yang semakin merenggangkan lagi kumpulan dan aktivis dalam parti Islam itu.
Sehinggakan ada yang dikatakan sanggup menghamburkan kata kesat dan luahan emosional mengenai krisis itu. Malah ada yang terlintas untuk mengusulkan supaya PAS meninggalkan Pakatan Rakyat.
Semua itu mengundang reaksi kesal Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman terhadap tindakan yang menurutnya "cukup buruk dan jelek" ketika masing-masing berhujah mengenai isu MB Selangor, sedangkan krisis itu dimulakan oleh PKR sendiri.
"Mengapa mulut dan jari kita begitu mudah meluahkan bicara dan melakar istilah/perkataan yang adakalanya cukup buruk dan jelik, hanya kerana mahu mempertahankan hujah masing-masing?
"Sedangkan saya perhatikan sebahagiannya berlindung di bawah jamaah Islam yang sama," kata aktivis media itu dalam laman Facebooknya semalam .
Menasihatkan mereka supaya menggunakan bahasa yang lebih sopan dan menjaga sensitiviti rakan, termasuk dalam Pakatan Rakyat, Ahmad Lutfi turut mengingatkan supaya semua pihak tidak "saling melondehkan diri sehingga semuanya terbogel bulat di tengah halaman, ditonton orang awam."
'Hilang manis perjuangan'
Menyentuh usul keluar Pakatan pada saat ini, sumber-sumber memberitahu Malaysiakini, yang ia dikatakan dibangkitkan oleh seorang ahli Jawatankuasa PAS dari kumpulan pro-Erdogan selepas kecewa dengan isu yang dicanangkan PKR.
Kumpulan pro-Erdogan itu selama ini dilihat dekat dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sumber-sumber turut mendedahkan bahawa cadangan keluar Pakatan itu dibangkitkan ekoran ramai pemimpinnya kini kecewa dengan "pertikaman lidah" yang berlarutan dan telah hilang rasa hormat sesama sendiri dalam PAS berkaitan cadangan PKR itu.
“Baik kalah (bersendirian tidak bersama Pakatan) untuk mendapatkan kemanisan perjuangan daripada menang tetapi berbalah sesama sendiri,” kata sumber dalaman PAS.
"Krisis menteri besar menajamkan lagi perbalahan antara kumpulan pro-ulama dan kumpulan Erdogan. Mereka menunjukkan wajah sebenar mereka," kata sumber itu lagi kepada Malaysiakini .
Ura-uranya pemimpin Dewan Harian itu akan memajukan usul itu dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS pada 17 Ogos ini ekoran buntu dengan strategi Anwar dalam Langkah Kajang.
Bagaimanapun, setakat ini, ia belum dapat dipastikan memandangkan pelbagai perkembangan terbaru yang terurai setiap hari menjelang tarikh itu.
Beri tempoh
PKR memajukan kepada Majlis Pimpinan Pakatan pada 23 Julai lalu nama Presidennya Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai pengganti Khalid untuk jawatan menteri besar Selangor. DAP dan PAS diberikan tempoh masa untuk merundingkannya sebelum memberi jawapan.
Ini mencetuskan perbezaan pendapat dalam PAS apabila Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan beberapa pihak daripada kumpulan Erdogan secara terbuka menyokongnya tetapi Presiden Datuk Seri Hadi Awang dan kumpulan pro-ulama pula tidak melihat adanya keperluan buat masa ini untuk berbuat demikian.
Sementara itu, beberapa anggota jawatankuasa PAS masih berteka-teki mengenai pendirian mereka dan hanya mengambil sikap "tunggu dan lihat".
Mereka ingin melihat perkembangan menjelang mesyuarat jawatankuasa PAS yang ditangguhkan dari 10 Ogos (Ahad) kepada 13 Ogos (Rabu) dan seterusnya ditangguhkan lagi kepada 17 Ogos.
"Bagi saya, apa pun krisis yang melibatkan PKR hari ini (mengenai) isu menteri besar, saya masih yakin pasti ada formula yang kita akan guna," kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, tanpa menghuraikan lanjut maksudnya.

