Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Pakatan Rakyat adalah satu wasilah yang muncul tepat pada masanya apabila hegemoni BN dilihat mengheret negara ini ke kancah politik rasuah dan pentadbiran yang pincang.

Rakyat mahukan perubahan khususnya bukan Melayu yang pada waktu yang sama gerun dengan sikap Umno yang menuai budaya rasis.

DAP merasakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penghubung yang baik di mana PAS boleh bersama dan PAS menerima untuk bergabung atas alasan memerangi rasuah.

Walau apapun yang diperkatakan tentang Pakatan dan gabungannya tidak siapa dapat menafikan bahawa ia ada idealismenya tersendiri untuk melihat Malaysia bersih daripada rasuah.

 

Selain itu idealisme Pakatan turut berlegar sekitar proses demokrasi pilihan raya yang bersih di mana rakyat negara ini mendapat satu peluang terbaik untuk melihat reformasi pilihan raya dan institusinya berjalan.

Walaupun tanggapan buruk dipaparkan oleh media Umno/BN namun hakikatnya idealisme ke arah pilihan raya yang bersih berjaya menjadi gerakan massa yang berpengaruh.

Desakan ruang pendemokrasian yang lain seperti media, hak berhimpun dan bersuara telah mendaki ke tahap baru di mana ia telah mencabar status quo yang ada melalui kes-kes di mahkamah tentang kebebasan berhimpun dan bersuara.

Parlimen tidak lagi menjadi tempat memanaskan kerusi tetapi rakyat menyaksikan idealisme Ahli Parlimen Pakatan bercakap tentang ketelusan, tanggungjawab dan integriti sang penguasa.

Pakej baru politik

Rakyat diberi peluang melihat model Selangor dan Pulau Pinang serta Kelantan tentang pemerintahan yang ideal walaupun senantiasa dimomok oleh lawannya.

Perjuangan menentang perkauman sempit juga dilaungkan oleh idealisme pemimpin.

Pakatan dengan menyatakan buat pertama kalinya bahawa perjuangan menentang kefasadan politik merentasi semua kaum kerana rakyat mesti bersatu bukan atas bangsa tetapi atas memelihara kedaulatan dan kemuliaan negara dari perasuah negara tak kira siapa mereka.

Idealisme cukup baik untuk masa depan negara kerana perkauman telah mula disanggah lewat pejuangan anti-korupsi. Idealisme menentang perkauman sempit berjaya diterjemahkan apabila calon-calon Pakatan mendapat sokongan merentasi kaum kerana membuka ruang kepada orientasi mengundi atas manifesto dan bukan sentimen perkauman.

Buat pertama kalinya dalam sejarah politik, isu perkauman dan laungan kebencian agama ditolak oleh sebahagian besar rakyat ini kerana kajian menunjukkan walaupun isu perkauman dan agama dimainkan oleh Umno/BN dan medianya, Pakatan tetap mendapat undi yang terbaik daripada orang Melayu.

Dan ini mengisyaratkan bahawa orang Melayu telah bersedia untuk masuk ke pakej baru politik Malaysia yang menolak nuansa rasis dan kebencian agama.

Idealisme anti perkauman tidak pernah diterjemahkan sebegitu kuat melainkan dengan keberadaan Pakatan di pesada politik. Pakatan seolah menjadi pengharapan kepada kemunculan politik Malaysia yang menolak sikap rasis dan kebencian agama.

Kekurangan di mana-mana

Tidak dapat dinafikan wasilah yang baik tidak semestinya diisi oleh orang yang baik, buah busuk ada di mana-mana. Tindakan sesetengah warga Pakatan yang mungkin menjadikan Pakatan sebagai alat kepentingan diri tidak semestinya menggambarkan idealisme yang diperjuangkan.

Krisis politik juga adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan berlaku dan dalam proses itu, idealisme Pakatan tidak akan sunyi daripada dicabar dan dipertikaikan.

Parti-parti politik yang berkolusi juga tidak kurang masalah inter-partinya kerana akan ada pihak yang skeptikal dan optimis kepada kejayaan kolusi.

Ahli parti terbelah antara memelihara keberlangsungan pakatan dengan memperkukuhkan parti kerana salah satu masalah dalam parti yang berasaskan ideologi akan merasakan pendekatan kolusi akan menghakiskan keaslian ideologinya kerana terpaksa berkompromi dalam pelbagai perkara.

Keretakan dalam parti khususnya kepada PAS banyak memberi kesan kepada keutuhan Pakatan. PKR pula terlalu banyak bergantung kepada keperibadian Anwar dan sebagai parti baru yang cuba hidup dalam idealisme keterbukaan pemilihan parti banyak memberi kesan kepada masalah dalaman PKR yang turut menjejaskan keutuhan Pakatan.

DAP masih belum dapat menerobos tembok pengundi Melayu dan sikap sebahagian pemimpinnya yang dilihat tidak sensitif kepada isu Islam dan Melayu turut memberikan impak kepada keutuhan Pakatan.

Namun isu ini cuba dipulihkan oleh pimpinan dari masa ke semasa dengan pelbagai kekurangan yang tidak dapat dielakkan. Janganlah hendaknya yang kurang itu dianggap sebagai penghalang idealisme Pakatan sepatutnya ia perlu dilihat sebagai keutamaan yang perlu diperbaiki.

Apakah ada pilihan?

Pilihan untuk melihat masa depan Pakatan ditentukan oleh kemunculan politik baru yang kian mendesak sama ada Pakatan wujud atau tidak.

Segala yang telah dicapai oleh Pakatan tidak mungkin dikompromikan untuk kita kembali ke belakang hanya kerana krisis di Selangor. Ini kerana keluk baru politik tanahair sedang kuat menonjolkan dirinya, antara lain yang membentuk keluk baru ini ialah:

1. Politik rentas kaum yang mahu menegaskan sikap anti perkauman dengan suara yang lantang serta menentang sebarang bentuk ekstrimisme politik mahupun agama.

2. Kemunculan orientasi sokongan berdasarkan tawaran untuk kepentingan ramai dan bukan politik sentimen dan emosi.

3. Keperibadian ahli politik yang ada integriti dan mempunyai peribadi seorang negarawan.

4. Memberi makna baru kepada asas negara ini melalui pengukuhan semula semangat Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

5. Perpaduan yang membenarkan perbezaan pendapat secara konstruktif dan suasana politik mengizinkan kepelbagaian parti politik dalam kerangka demokrasi, media bebas dan bertanggungjawab serta pilihanraya yang bersih.

Jawapan kepada masa depan Pakatan terletak kepada keupayaannya memandu kemunculan keluk baru ini dalam arena politik Malaysia. Setakat ini sikap politik Pakatan dan idealismenya telahpun memulakan langkahnya sejak 2008.

 

Berbanding dengan segala kelemahan yang ada pada Pakatan dan tidak terkecuali isu krisis Selangor yang terkini, langkah Pakatan ke arah pembaharuan dan perubahan politik tidak boleh terhenti di sini dan dicicirkan, dan proses perubahan politik mesti diteruskan.

Ya, ada kelemahan dan ada krisis di Selangor tetapi kekuatan untuk menyambut politik baru lebih diperlukan dan untuk itu PKR, PAS dan DAP harus rasional sejenak dan bertanya pada diri masing-masing,

“Perlukah kita gadaikan semua ini hanya kerana sedikit kocakan di Selangor?”

Amat sukar untuk membentuk pakatan rakyat yang lain kerana inilah satu-satunya Pakatan Rakyat yang kita ada. Pakatan Harapan Rakyat.

Semalam : Politik Pakatan tuntut kejujuran, pertahan janji


DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA ialah Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS dan Ahli Parlimen Parit Buntar.

Lihat Komen
ADS