Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Isteri bekas pemimpin mahasiswa, Muhammad Safwan Anang sebak namun tabah menerima hukuman penjara 10 bulan terhadap suaminya yang didapati bersalah menghasut pada 13 Mei tahun lalu.

Masturah Abu Bakar, 25, tidak dapat menahan dirinya menangis sewaktu mengulas hukuman itu di luar Mahkamah Sesyen Jalan Duta pagi ini.

"Saya sokong apa yang suami saya buat, namun buat masa sekarang saya dan anak sangat-sangat perlukan dia. Anak kami baru 8 bulan," katanya seraya mengalirkan air mata.

Mastura hadir di mahkamah dengan mengendong anak perempuan mereka yang berusia lapan bulan dan berpakaian serba hitam.

Beliau kemudiannya tidak dapat meneruskan ucapannya akibat sebak dan beredar daripada kumpulan wartawan selepas kenyataan ringkas itu.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara sepuluh bulan ke atas Safwan bekas pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) atas tuduhan menghasut dalam satu ucapan pada 13 Mei tahun lalu.

Hakim Norsharidah Awang yang menjatuhkan hukuman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 membenarkan hukuman ditangguhkan bagi tujuan rayuan.

Namun, jumlah ikat jamin sebanyak RM5,000 sebelum ini dinaikkan kepada RM15,000.

Lihat Komen
ADS