PERKASA cadang PAS ketuai Pakatan
Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali mencadangkan agar PAS mengetuai Pakatan Rakyat jika gabungan benar-benar serius mahu membentuk sistem dua parti yang kukuh bagi menyaingi BN.
Katana, beliau membuat cadangan itu kerana menurutnya PAS merupakan parti dengan majoriti orang Melayu seperti Umno - yang mengetuai BN.
Formula itu, tambahnya, diguna pakai BN yang sebenarnya mirip dengan komposisi penduduk Malaysia.
"Kalau PAS mengambil alih kepimpinan (Pakatan) dan DAP tak besar kepala, saya rasa ini akan jadi titik permulaan," katanya dalam satu sidang akhbar di ibunegara hari ini.
Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas pertelingkahan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat susulan kemelut menteri besar Selangor.
"Jika mereka tidak berjaya mewujudkan sistem dua parti pun, sekurang-kurangnya ia akan menghampiri kepada sistem itu.
""Hanya selepas itulah BN dan Pakatan sama-sama boleh bersaing atas prinsip pentadbiran yang baik," katanya.
Sudah jangka
Katanya, beliau sudah menjangka krisis yang melanda Pakatan sekarang akan berlaku sejak tahun 2008.
"Krisis di peringkat menteri besar pun makan masa tiga bulan.
"Ya, mereka semua sudah sepakat Anwar akan jadi PM.
"Bagaimana dengan jawatan-jawatan utama?" soal beliau.
"Sebelum ini Anwar mahu isteri dia jadi MB jadi nanti tak mustahil anak-anaknya pula akan dilantik mengisi jawatan penting seperti menteri kewangan," katanya sinis.
Menurutnya beliau juga tidak faham bagaimana ketiga-tiga parti dalam Pakatan boleh bersama sedangkan ideologi mereka berbeza sama sekali.
"PAS memperjuangkan Islam, DAP memperjuangkan Malaysian Malaysia dan Pakatan Rakyat pula adalah sebuah perikatan yang pragmatik - untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri semata-mata," katanya.

