Ibrahim akan cerita perasaan digelar 'katak'
Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali akan menceritakan perasaannya diberikan pelbagai gelaran, antaranya 'katak', dalam buku autobiografinya yang akan diterbitkan sebelum hari jadinya pada 25 Januari tahun hadapan.
Menurutnya, beliau sudah lali diberikan pelbagai gelaran sejak terlibat dalam dunia politik sewaktu masih bergelar mahasiswa lagi.
"Dulu mula-mula orang panggil saya 'gedebe' (istilah Kelantan untuk samseng), lepas itu orang panggil saya 'katak', dan sekarang orang kata saya rasis pula.
"Padahal kalau nak ikut 'katak' dalam politik, (Datuk) Saifuddin Nasution pun katak juga," katanya merujuk kepada setiausaha agung PKR sekarang yang pernah menganggotai Umno dan PAS sebelum menyertai PKR.
"Tak apa, ini semua nanti saya akan cerita dalam autobiografi saya," katanya lagi.
Jelas Ibrahim, beliau juga akan menggunakan buku tersebut untuk menceritakan hubungannya dengan dua orang personaliti politik yang disifatkan sebagai mentor beliau - Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Orang nampak saya macam selalu setuju dengan Mahathir. Dalam buku itu saya akan cerita apakah antara isu-isu yang saya pernah tak setuju dengan dia.
"Dengan Ku Li (Tengku Razaleigh) pula, saya akan ceritakan pandangan saya tentang sebab beliau tak dapat jadi perdana menteri," katanya.
Menurutnya, beliau kini dalam proses merakam isi kandungan autobiografinya itu secara lisan dengan menggunakan perakam suara.
"Apabila berada di rumah waktu saya lapang dan rehat, saya guna perakam suara dan rekod semula cerita-cerita lama yang saya ingat," katanya.
Rakaman itu kemudian akan ditranskripkan oleh setiausahanya dan beliau akan menulis dan menyuntingnya sendiri semula sebelum ia diserahkan kepada seorang penyunting buku.
Beliau juga sudah mempunyai tajuk sementara untuk buku tersebut.
"Untuk edisi bahasa Inggeris ia adalah The Misunderstood Man.
"Untuk edisi bahasa Melayu, saya masih mencari tajuknya.
"Kalau ada, cadangkan pada saya," katanya sambil ketawa kepada wartawan yang mengelilingi beliau selepas sidang akhbar PERKASA petang tadi.

