M'sia tegaskan tak sokong pengganas Negara Islam
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Hamzah Zainuddin hari ini menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan menganggap Negara Islam (IS) di Iraq dan Syria sebagai kumpulan pengganas.
"Kerajaan telah melabelkan kumpulan militan IS ini sebagai pengganas.
"Malaysia sama sekali tidak menyokong malah menolak dan mengutuk sebarang tindakan termasuklah IS yang membentuk wilayah mereka," katanya di Parlimen hari ini.
Katanya lagi, kerajaan juga tidak mengiktiraf sama sekali sebarang bentuk bantuan kepada kumpulan militan itu.
"Tindakan mereka tak cermin ajaran Islam dan tidak menyokong pembentukan wilayah Islam IS.
"Justeru Malaysia menentang sebarang bentuk bantuan ke atas kumpulan militan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan bertulis dari MP Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Hadi ( kiri ) mahu tahu pendirian rasmi kerajaan terhadap IS yang mengisytiharkan wilayah pemerintahan baru pada 29 Jun lalu.
Menurut Hamzah lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada sidang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 27 September lalu menegaskan kerajaan menolak pendekatan IS dan dengan keras mengecam kekejaman kumpulan itu.
Menjawab soalan lisan tambahan Hadi tentang cara kerajaan dalam menangani kumpulan itu, Hamzah menegaskan kerajaan akan sentiasa memilih jalan "kesederhanaan".
"Saya ingin jelaskan bahawa kedudukan kita dalam PBB kita jelas kita ada satu kaedah bahawa kita mahukan apa-apa sahaja penyelesaian melalui kesederhanaan," katanya.

