Sultan Selangor: Jangan gopoh kritik fatwa
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar umat Islam tidak gopoh dalam mengkritik fatwa tanpa memahaminya dengan mendalam.
Titahnya, baginda yakin fatwa diputuskan oleh jawatankuasa yang terdiri daripada pihak yang arif dalam bidang mereka.
"Beta menyeru kepada umat Islam janganlah tergesa-gesa mengkritik fatwa yang telah dikeluarkan tanpa memahami dengan sepenuhnya.
"Sesuatu fatwa bukan hanya boleh dibuat atau ditentukan oleh mufti sahaja tetapi ia dibuat melalui jawatankuasa fatwa yang terdiri daripada alim ulama dan juga profesion yang mahir dalam bidang masing-masing termasuk mereka yang dalam bidang perundangan," titah baginda.
Menurut baginda, umat Islam perlu menaruh keyakinan ke atas ajaran agama bagi membolehkannya mengatasi ideologi politik.
"Umat Islam perlu yakin dengan penuh ikhlas, bersatu dan berpadu fikiran untuk memahami segala ajaran Islam dan ia perlu mengatasi ideologi dan kepentingan politik.
"Beta yakin segala kandungan al-Quran termasuklah peraturan dan segala hukum yang telah ditetapkan oleh Allah Taala mempunyai kebaikan dan hikmah kepada seluruh alam," titahnya.
Baginda menekankan demikian sewaktu merasmikan Seminar Kanun Jenayah Syariah di Shah Alam pagi ini.
Isu berhubung keabsahan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor itu menjadi tumpuan susulan tindakan NGO Sisters in Islam (SIS) yang memfailkan permohonan untuk mencabar fatwa pengharamannya.
Fatwa yang diwartakan di Selangor pada 24 Julai itu menyatakan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam dan memetik NGO itu sebagai contoh.

