Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) mendapati, aduan ke atas laungan azan dari sebuah masjid di Taman Tun Sardon adalah tidak benar dan direka-reka.

Yang Dipertua MAIPP, Datuk Salleh Man berkata pihak mendapati demikian selepas menyiasat satu surat oleh Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (Pajim) yang mendakwa demikian.

"Apabila kita buat siasatan, tiada pun laporan sebegitu diterima," kata ADUN Permatang Pasir itu kepada Malaysiakini.

"Saya harap selepas ini tidak perlulah isu-isu begini dicipta," kata Salleh.

Pajim mendakwa, terdapat laporan mendawa orang bukan Islam memohon agar laungan azan melalui pembesar suara diperlahankan.

Pajim mendakwa pihaknya menerima laporan yang Masjid At-Taqwa Taman Tun Sardon tidak lagi melaungkan azan Subuh selepas menerima aduan masyarakat bukan Islam.

Pajim kemudian mengutus surat kepada Salleh Man pada 20 Januari dan menggesa beliau "memantau dan mengambil tindakan tegas" terhadap perkara itu.

Mengulas lanjut, Salleh berkata insiden sebegitu ia sepatutnya diselesaikan di peringkat kariah masjid sahaja sekiranya ia benar-benar berlaku.

Tegasnya, perkara itu tidak perlu dibawa sehingga ke perhatian MAIPP.

"Katalah ada masyarakat bukan Islam buat aduan, kariah masing-masing pandai-pandailah hendak jaga keselesaan masyarakat dia," katanya.

Reaksi Salleh itu timbul susulan gesaan daripada NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) agar memantau isu tersebut.

Lihat Komen
ADS