Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Syarikat Bestinet Sdn Bhd menjelaskan bahawa kontrak mengendalikan sistem pemprosesan visa dan pemeriksaan kesihatan biometrik pekerja asing masih belum dianugerahkan kepada mereka secara rasmi.

Pengerusi eksekutifnya, Tan Sri Azmi Khalid berkata sistem berkenaan kini masih lagi dalam fasa “pembuktian konsep”.

"Saya pun tak berapa selesa dengan tidak ada kontrak ini, tetapi itu cara kerajaan kita buat.

"Kita harap satu hari nanti akan ada kontrak kerana proof of concept juga memakan belanja untuk dilaksanakan," kata bekas menteri dalam negeri itu.

Perkhidmatan berkenaan digantung perkhidmatannya pada 30 Januari lalu oleh Jabatan Imigresen.

Menurut Azmi, walaupun tiada kontrak, Bestinet setakat ini telah memasang sistem itu di lebih 200 pusat pemeriksaan kesihatan di 11 buah negara yang membekalkan pekerja asing.

Bercakap kepada wartawan kemudiannya, Azmi berkata beliau berani mengambil langkah demikian kerana melihat potensi pasaran lebih 6 juta orang pekerja di luar negara yang akan mengguna pakai Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).

Justeru, Azmi berharap agar kerajaan menarik balik penangguhan sebelum ini dan menyokong usaha Bestinet yang merupakan "syarikat pertama di dunia" yang menyediakan platform demikian.

"Sistem ini yang pertama di dunia dan kerajaan sepatutnya berasa bangga dan tolong kita," kata Azmi.

Beliau turut menjelaskan bahawa kedudukannya sebagai bekas menteri dalam negeri dan seorang bekas pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Datuk Tengku Omar Tengku Bot membolehkan Bestinet memberikan penyelesaian yang lebih baik.

"Setiap masalah dalam kerajaan saya tahu. Saya pernah berada di sana,” katanya.

Jelasnya, beliau memerhatikan bahawa tindakan kerajaan pada masa itu tidak mengambil kira masalah pembekal dan pengguna akhir.

"Semasa saya di sana, semua maklumat dan penyelesaian cuma datang dari satu pihak.

"Saya tak lihat (penyelesaian) dari pihak pembekal, pihak pengguna akhir," kata Azmi.

Kedudukan beliau dan Tengku Omar dalam Bestinet menerima kritikan kerana didakwa memberi kelebihan kepada syarikat tersebut untuk mendapatkan kontrak imigresen.

Syarikat itu juga dikritik kerana kontrak pemprosesan visa yang diperolehi Bestinet dikhuatiri akan menjejaskan integriti maklumat  Jabatan Imigresen.

Lihat Komen
ADS