Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berikrar bahawa pentadbirannya akan terus mengutamakan agenda membantu Bumiputera untuk berjaya "selagi ada bulan dan bintang".

Tegas Najib, azam itu adalah pembaharuan kepada ucapannya sewaktu membentangkan Agenda Ekonomi Bumiputera, dua tahun lalu.

"Sebagai perdana menteri, saya beri jaminan kerajaan pimpinan saya akan terus membantu orang Melayu Bumiputera untuk berjaya.

"Saya telah menzahirkan bahawa agenda Bumiputera adalah agenda nasional.

"Maka kita akan terus menggubal dasar, program dan tindakan yang sesuai dengan hakikat ini," kata Najib.

"Selagi ada bulan dan bintang, selagi darah Melayu ini mengalir, selagi itu wadah umat ini akan terus diperjuangkan," kata Najib lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Himpunan Melayu di Kuala Lumpur, malam ini.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Majlis Himpunan Melayu, Datuk Dr Hasan Mad turut menyatakan taat setia bagi pihak hadirin untuk terus menyokong Najib.

"Kami berhimpun di sini dari segenap pelosok dan kelompok tanah air Datuk Seri - Melayu yang hebat, bermaruah dan berkat - untuk menyatakan sokongan kami kepada khalifah-khalifah Melayu yang Datuk Seri terajui," katanya.

Himpunan malam tadi dimeriahkan dengan kehadiran lebih 5,000 orang hadirin terdiri daripada NGO, pelajar, pertubuhan silat, serta agensi kerajaan.

Ia bertemakan 'Gerakan Renaisan Melayu: Melayu Hebat, Bermaruah dan Berkat'.

Ia dianjurkan secara bersama oleh Majlis Himpunan Melayu, Universiti Teknologi Mara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Unit Peneraju Agenda Bumiputera(TERAJU) dan Biro Tatanegara (BTN).

Amanat untuk bangsa Melayu

 

Sementara itu Bernama melaporkan Najaib menggariskan tujuh amanat utama sebagai panduan untuk bangsa itu melangkah maju di abad ke-21 dan menjadi kuat, hebat dan bermaruah.

           

Amanat tersebut termasuk keperluan melatih orang Melayu menjadi bangsa berpengetahuan dan mengukuhkan ekonomi mereka.

           

Amanat lain yang ditekankan Perdana Menteri malam ini menyentuh keperluan memperjuang kepentingan agama Islam dan syiarnya; mempertahan institusi raja Melayu dan keistimewaan orang Melayu; menegakkan maqasid syariah dengan bersikap sederhana; menjaga nilai-nilai murni; dan menjaga institusi keluarga.

           

Najib menegaskan jika orang Melayu berpegang kepada amanat ini, ia akan menjamin mereka muncul sebagai bangsa yang dihormati semua kaum dan dunia serta mampu menjadi bangsa berdikari.

           

"Amanat ini bagi mewakili semua pemimpin Melayu dan hendaklah dijadikan peringatan kekal dan ia juga ingatan untuk kita semua,” katanya.           

 

Najib mengambil kesempatan itu untuk menekankan pentingnya aspek perpaduan sesama bangsa dititikberatkan.

           

Menurutnya, perkara itu serta perpaduan antara kaum dalam masyarakat majmuk di Malaysia menjadi anak kunci dan asas masa depan bangsa dan negara yang lebih cemerlang.

           

Najib seterusnya menarik perhatian hadirin bahawa bangsa Melayu telah berjalan jauh dan telah melakar pelbagai pencapaian.

Namun, ini tidak menghalang beliau daripada mengajak orang Melayu untuk terus bertanyakan soalan terhadap diri mereka sendiri; "Apa kita boleh buat atas nama orang Melayu? Apa kita boleh menyumbang?"

           

Menurutnya persoalan itu perlu difikirkan oleh bangsa Melayu kontemporari kerana mereka kini tidak boleh lagi bergantung harap kepada kerajaan semata-mata untuk lebih berjaya dan menjamin masa depan mereka.

           

"Kita tidak mahu lihat orang Melayu dihina, orang Melayu diperlekeh. Kita mahu orang Melayu menjadi bangsa disegani, dihormati dan bermaruah," katanya ketika menyampaikan ucapan yang diselangi tepukan dan sorakan tanda sokongan daripada hadirin yang membanjiri stadium itu.

           

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan akan sentiasa memainkan peranan sebagai fasilitator dalam menyediakan ruang untuk membolehkan orang Melayu dan Bumiputera mencapai kejayaan.

           

Bagaimanapun, beliau berkata hanya mereka yang mempunyai komitmen, kebolehan dan merit sahaja akan berjaya.

           

Najib berkata ini dibuktikan dengan kehadiran pemimpin Melayu yang telah berjaya di perhimpunan ini termasuk golongan profesional dalam pelbagai bidang termasuk pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan peneraju institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

           

Bagaimanapun, Najib, yang juga Presiden UMNO, memberikan peringatan berikut: "Perjalanan orang Melayu masih jauh. Saya akui banyak lagi yang perlu dilakukan. Kita perlu insaf dan sentiasa melakukan penambahbaikan."

           

Dalam pada itu, respons yang ditunjukkan peserta perhimpunan di dalam stadium sewaktu perdana menteri menyampaikan amanatnya nyata positif sejak awal hingga akhir acara.

           

Setiap kali Najib lontarkan persoalan yang mencabar minda atau kenyataan yang membakar semangat, mereka menyambut dengan sorakan padu sebagai tanda sokongan tidak berbelah-bagi.

           

Majlis yang bermula secara rasmi dengan nyanyian penuh bersemangat lagu kebangsaan 'Negaraku' itu turut menyaksikan ribuan peserta menyahut seruan dan lafaz waad (janji luhur) yang dibacakan Pengerusi Sekretariat Malam Perhimpunan Perpaduan Melayu, Datuk Dr Hasan Mad, yang juga Setiausaha Agung MPM.

           

"Kami semua berhimpun di sini dari segenap kelompok seluruh pelusuk tanah air, terdiri dari Melayu yang hebat Melayu yang bermaruah, dan Melayu yang berkat.

           

"Kami berhimpun di sini untuk nyatakan sokongan kepada kepimpinan yang PM terajui. Kami semua bangsa Melayu hebat bermaruah dan berkat," laungnya.

 

Antara tetamu yang turut menghadiri perhimpunan itu ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan dan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar.

           

Dalam perhimpunan itu, Najib turut menyaksikan penyerahan memorandum persefahaman penubuhan Koperasi Majlis Perundingan Melayu Berhad oleh Amanie Corporate Advisor Sdn. Bhd., kepada MPM.

           

Beliau turut menerima memorandum cadangan bagi penubuhan Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Islam daripada anggota jawatankuasa MPM, Tan Sri Mohamed Yusof Mohamed Noor.

Warkah Waad

Sementara itu, Najib mengetuai peserta Perhimpunan Perpaduan Melayu menandatangani Warkah Waad (Janji Luhur) Misi Melayu Abad ke-21 sebagai peringatan bagi memastikan negara dipimpin ke arah kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan yang adil dan saksama.

           

Kandungan dokumen itu antara lain menyebut bahawa dalam mendepani cabaran era globalisasi termasuk dari segi geopolitik dan ekonomi, pendekatan misi Melayu harus berpaksikan ciri-ciri Melayu global yang berfikiran futuristik dan bersikap kompetitif.

           

Mereka juga perlu menjadi golongan berilmu, menguasai teknologi dan mempunyai jati diri kental.

           

"Bangsa Melayu global juga perlu menghormati kelainan kaum, bangsa danmanusia sejagat," kata dokumen itu.

           

Ia turut berkata bahawa peradaban Islam dan peradaban bangsa Melayu bolehmenjadi landasan bagi segala bentuk pemerintahan negara dan pembangunan bangsa.

           

Menurut kandungan janji itu, keluhuran peradaban Melayu-Islam memberikelebihan dalam usaha memastikan kelangsungan warisan peradaban bangsa Melayu di masa hadapan selaras keagungannya di masa lampau.

Lihat Komen
ADS