Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen Lembah Pantai yang berhasrat menyampaikan ucapan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilarang mewakili bapanya.

Dewan Rakyat bagaimanapun membenarkan Nurul Izzah Anwar memasukkan sedutan ucapan Anwar sebagai sebahagian ucapannya sendiri.

"Kita sudah putuskan bahawa ucapan Yang Berhormat adalah ucapan Yang Berhormat, bukan mewakili ketua pembangkang," kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee kepada Nurul.

Jika dibenarkan hadir di Parlimen hari ini, Anwar dijadual berucap dalam perbahasan menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong yang berkenan mencemar duli membuka persidangan semalam.

Ucapan Anwar ( kanan ) dibacakan selepas perbahasan wakil kerajaan Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang).

Anwar, walaupun masih seorang anggota Dewan Rakyat, tidak dibenarkan hadir sidang parlimen kali ini.

Beliau masih kekal jawatan itu selepas memohon pengampunan diraja setelah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Sewaktu membacakan ucapan Anwar, ahli parlimen Lembah Pantai menggunakan peluang itu untuk menegaskan pendirian bapanya bahawa beliau tetap tidak bersalah atas jenayah liwat yang disabitkan ke atasnya.

"Saya tidak bersalah atas tuduhan palsu dan fitnah ini tidak pernah berlaku.

"Fitnah ini satu rekayasa yang jahat datang dari satu konspirasi politik untuk menamatkan karier politik saya.

"Tidak menjadi satu kebetulan bagaimana Pejabat Perdana Menteri boleh mengeluarkan kenyataan rasmi bertulis mengenai keputusan yang cuma selang beberapa minit selepas penghakiman dikemukakan, malah sebelum hukuman dijatuhkan.

"Dalam tunduk akur kepada kehendak telunjuk tuan-tuan politik, hakim-hakim itu menjadi rakan jenayah pembunuhan kebebasan dan integriti badan kehakiman.

"Mereka telah menjual diri mereka kepada syaitan, memperdagangkan nurani mereka demi pulangan kebendaan, kedudukan dan jaminan jawatan," kata Nurul Izzah, memetik teks ucapan Anwar.

Lihat Komen
ADS