Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'gor mahu terlibat pilih tender Langat 2
Diterbitkan:  Apr 1, 2015 3:48 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Kerajaan Selangor menuntut untuk turut terlibat dalam proses pemilihan tender bagi fasa kedua projek pembinaan loji Loji Rawatan Air Langat 2.

Exco kerajaan negeri Zaidy Abdul Talib berkata, ia bagi memastikan projek itu tidak melibatkan kos tinggi yang seterusnya akan membebankan pengguna.

Ia juga bagi memastikan syarikat yang dipilih itu benar-benar mahir untuk dipertanggungjawabkan bagi menjalankan projek dengan kos RM3 bilion itu.

"Dari segi penganugerahan tender kita kena pastikan yang telus, yang baik. Bila dilaksanakan nanti tak perlu penambahbaikan atau kos lain untuk selenggarakannya.

"Sebab itu projek Langat 2  perlu dianugerah pada kontraktor yang mahir dengan harga yang munasabah kerana di akhirnya kos itu akan (ditanggung) rakyat negeri Selangor.

"Dengan penggunaan teknologi yang terlalu (tinggi) juga kita bimbang akan menyebabkan kos yang tinggi sedangkan air Sungai Semantan tidak kotor seteruk itu.

“Jadi, kalau kerajaan negeri tak terlibat dari awal kita bimbang akan digunakan peralatan yang canggih, dengan kos yang tinggi dan akhirnya diletakkan dalam tarif," katanya lagi.

Menurutnya, kerajaan Selangor tidak mahu episod yang berlaku pada September 2012 berulang.

Pada waktu itu, kerajaan persekutuan tetap membuka tender bagi fasa pertama projek tersebut walaupun gagal mendapatkan lampu hijau daripada kerajaan Selangor.

Setakat November tahun lalu, projek untuk menyalurkan air dari Pahang ke Selangor itu sudahpun 15 peratus siap , dan dijangka siap pada 30 April 2017.

Kerajaan negeri kini terlibat dalam Jawatankuasa Khas Pelaksanaan Projek Langat 2 yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Besar Selangor Azmin Ali.

Penubuhan jawatankuasa itu bertujuan bagi menyelesaikan urusan berkaitan pelaksanaan projek loji air tersebut.

Projek Langat 2 merupakan sebuah projek antara komponen utama Skim Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor.

Loji berkenaan berupaya merawat 2,260 juta liter sehari (JLH) air mentah dari Sungai Semantan, Pahang ke Sungai Langat di Selangor.

Ia bagi memenuhi keperluan permintaan tambahan bekalan di negeri Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya sehingga 2025.

Lihat Komen
ADS