Tempat forum ditutup selepas Umno mahu protes
Satu forum di Kluang tentang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan mengenai politik perkauman malam tadi dibatalkan selepas penceramah mendapati tempat ia dijadual diadakan, gelap dan ditutup dengan pita halangan warna merah dan putih.
Sebab tempat itu ditutup - sebuah restoran - tidak diketahui, tetapi Pemuda Umno semalam berkata mereka akan berhimpun membantah forum itu yang didakwanya berbaur "perkauman".
Restoran Tepi Sungai Jamilah didapati ditutup apabila penceramah tiba sekitar jam 8.15 malam, kata penganjur forum itu, Sheikh Omar Ali.
Katanya, kira-kira 60 hingga 70 orang berada di sana dan separuh daripadanya adalah penyokong mereka manakala yang lain dipercyai ahli Umno dan anggota polis.
Sheikh Omar yang mewakili LayPark @ Kluang berkata beliau mengesyaki kira-kira 30 orang yang hadir di situ adalah dari Pemuda Umno kerana "mereka kelihatan mencurigakan" dan "merenung pihak penganjur dengan cara yang pelik".
Naib Ketua Pemuda Umno Johor Khairul Anwar Rahmat, yang semalam mendakwa akan hadir di demonstrasi itu, tidak kelihatan, kata Sheikh Omar.
Sekatan jalan raya
Sheikh Omar, yang juga pembantu kepada Ahli Parlimen DAP Kluang Liew Chin Tong, berkata terdapat empat sekatan jalan di jalan-jalan berbeza yang menghala ke restoran tersebut.
"Saya dari Kluang. Kami jarang lihat sekatan jalan di sini...," katanya sambil menambah pihak polis tidak beritahu tujuan sekatan jalan itu diadakan.
Ekoran kegagalan forum itu diadakan, Sheikh Omar menyalahkan Khairul Anwar yang menurutnya "bukan seorang gentlemen".
"Beliau kata, mereka mahu membantah perkauman. Tajuk forum kami adalah 'Anti GST dan politik perkauman'. Beliau sepatutnya menyertai kami, bukan menghalang kami," tambahnya.
Restoran ini akhirnya dibuka semula pada pukul 11.30 malam, tetapi pada masa itu, pihak penganjur telah membuat keputusan untuk menangguhkan forum itu sehingga selepas pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 7 Mei.
Forum ini dijadual menampilkan empat penceramah DAP, termasuk tiga ADUN Wong Shu Qi (Senai), Tan Hong Ping (Mengkibol) dan Ee Chin Li (Tangkak).

