Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Tak suka bos, sila berhenti
Diterbitkan:  Jun 1, 2015 6:59 PM
Dikemaskini: 4:32 PM

Jika seseorang tidak sependapat dengan ketuanya, mereka bebas untuk berpisah, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan.

Ia memang kelihatan sebuah penyelesaian mudah namun kenyataan Mohamad itu dianggap penting ketika ada laporan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi kata dua kepada anggota kabinet supaya meletak jawatan jika tidak bersetuju dengan pendekatan diambilnya dalam isu 1MDB.

Kenyataan Mohamad itu dimuat naik di laman sesawang MyKMU.net dan YouTube hari ini.

Dalam klip video selama 44 saat itu, Mohamad berkata, manusia tidak boleh membuat pilihan dalam dunia ini.

Satu, katanya, ialah ibu bapa.

"Ibu bapa memang tak boleh pilihlah, kan?" katanya.

Kedua, kata Mohamad, ialah "bos".

"Kalau you tak suka bos, bos tak perlu pergi. You yang (kena) pergi," katanya.

Mohamad juga menyebut satu nama, Nizam, dalam rakaman itu dengan berkata: " So , siapa yang bekerja - macam you , Nizam, kalau tak suka saya, you berhenti."

Kenyataan itu disambut gelak ketawa orang ramai.

Tidak dapat dipastikan siapakah "Nizam" yang disebut Mohamad tetapi ada kemungkinan salah seorang pembantunya.

Hari ini Utusan Malaysia melaporkan Najib memberi kata dua semasa mesyuarat kabinet Jumaat lalu selepas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah membentangkan pelan penstrukturan semula 1MDB.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap antara tokoh yang tidak senang dengan cara Najib menguruskan isu 1MDB.

Bagaimanapun, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz menafikan Najib membuat kenyataan begitu.

Sumber pula memberitahu, Muhyiddin tidak menghadiri mesyuarat kabinet berkenaan kerana sedang bercuti.

Lihat Komen
ADS