SUA PAS akan minta penjelasan Selangor
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata beliau akan mendapatkan penjelasan dari PAS Selangor berhubung kenyataan yang dilihat bercanggah mengenai status keahlian kumpulan progresif dalam parti itu.
Isnin lalu, kumpulan profesional yang kalah dalam pemilihan PAS bulan lepas mengumumkan penubuhan GHB untuk mengasaskan penubuhan satu parti politik baru berteraskan Islam.
Berikutan itu, PAS Selangor berkata pendukung usaha menubuhkan parti Islam baru jatuh keahlian secara automatik, menurut peruntukan dalam perlembagaan parti.
Berikutan itu, PAS Selangor sudah menyiapkan pemangku bagi jawatan yang disandang kumpulan GHB.
Manakala Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan pula berkata tindakan tidak boleh diambil sehingga parti baru itu didaftarkan secara rasmi bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS).
“Saya tak boleh komen lagi, saya nak dapatkan penjelasan dari (setiausaha PAS Selangor Mohd) Khairuddin (Othman), saya tak boleh komen berdasarkan laporan media sahaja.
"Saya akan dapatkan penjelasan dari dia dahulu dan saya akan komen,” kata Takiyuddin ketika dihubungi Malaysiakini.
Katanya, beliau telah pun membaca kenyataan Mohd Khairuddin di dalam portal media.
Namun beliau mahu mendengar penjelasan dari Mohd Khairuddin sebelum memberi maklum balas.
“Saya baca dalam media sahaja dan saya tidak dengar dari beliau. Saya kena tanya apakah betul apa beliau cakap. Apakah yang beliau maksudkan, baru saya boleh komen,” kata Takiyuddin.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Samad (gambar) berkata kenyataan antara PAS Selangor dan pimpinan parti itu benar.
Katanya, masuk parti baru boleh digugurkan keahlian PAS dan merancang menubuhkan parti baru boleh dirujuk kepada jawatankuasa disiplin dan boleh dipecat keahlian juga.

