Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno: Himpunan 16 Sept bukan himpunan perkauman
Diterbitkan:  Sep 17, 2015 2:20 PM
Dikemaskini: 6:28 AM

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menafikan bahawa Perhimpunan Rakyat Bersatu semalam satu perhimpunan perkauman.

Ini kerana, katanya, perhimpunan itu sama sekali tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa lain.

Katanya, negara ini tertakluk kepada perlembagaan dan tidak ada satu yang tercatat dalamnya untuk mengenepikan kaum lain dalam apa jua bidang dan situasi, lapor Umno-Online hari ini.

"Perhimpunan aman ini juga bukan kerana perbezaan agama dan bangsa tetapi adalah kerana mahu memberi pengajaran kepada mereka yang tidak bertanggungjawab agar jangan memperkotak-katikkan bangsa Melayu khususnya agama Islam.

"Perhimpunan ini juga menjadi satu sejarah kepada penyatuan orang Melayu. Orang Melayu pernah melakukan begini pada tahun 1946 apabila mahu mengagalkan rancangan British dan Umno ditubuhkan dan kini bila orang Melayu dan Islam dicabar kami sekali lagi bangkit dengan satu kesedaran untuk menyatakan sikap dan perasaan mereka.

"Jadi, semua orang harus ada sikap toleransi di antara satu sama lain dan sikap integrasi serta memahami perasaan orang lain. Negara ini terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama jadi kita harus saling hormat-menghormati," katanya seperti dilapor portal berita parti itu.

Dalam laporan itu juga, ketua Umnno Temerloh turut berharap agar kaum lain tidak mencabar dan keterlaluan melakukan provokasi terhadap bangsa Melayu dan Islam.

Perhimpunan semalam dianjurkan sebagai reaksi terhadap perhimpunan BERSIH hujung bulan lalu yang dikaitkan pemimpin dan media prokerajaan dengan dominasi Cina dan DAP.

Berdasarkan kain rentang dan poster dipamer, ia dipamerkan sebagai perhimpunan Melayu untuk menyatakan bantahan terhadap orang DAP.

Oleh itu, Menteri Besar Selangor, Azmin Ali hari ini menyuarakan rasa sangat malu dan meluat dengan perhimpunan kumpulan baju merah itu yang disertai orang Melayu yang meluangkan slogan rasis semalam dan diadakan demi menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sementara Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula mengecam tindak tanduk peserta yang dianggapnya berbaur perkauman dan tidak mencerminkan perbuatan orang Melayu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS