'Luka tsunami Cina Najib tak sembuh-sembuh'
Perdana menteri mungkin menerima nasihat salah yang mendorongnya bergerak ke haluan kanan selepas pilihan raya umum lalu, kata bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah.
Saifuddin, yang baru menyertai PKR baru-baru ini, berkata Datuk Seri Najib Razak kini bukan pemimpin sederhana, neutral atau progresif lagi seperti sebelum ini.
“Saya tidak mahu sifatkan sebagai melampau, tetapi dia beralih ke arah kanan selepas pilihan raya umum.
“Beliau dulu amat sederhana, tetapi kini semuanya telah berubah,” beliau dipetik sebagai berkata dalam wawancara bersama Oriental Daily .
Saifuddin, bekas pemimpin pusat Umno, berkata perubahan itu mungkin disebabkan kemerosotan teruk undi Cina dialami BN, yang digelar sebagai “tsunami Cina”.
“Luka itu tidak pernah sembuh. Ini yang menjadi titik peralihan penting Najib,” kata Saifuddin yang kini dilantik mengetuai urus setia gabungan baru pembangkang Pakatan Harapan.
Dalam temubual itu, Saifuddin memberi tiga sebab kenapa beliau meninggalkan Umno – rasisme, model politik ketinggalan zaman sertai dakwaan skandal-skandal parti.
Saifuddin berkata, walaupun mustahil mencari parti yang seratus peratus bersih, sekurang-kurangnya ia tidak terbeban dengan skandal yang berat.
Beliau kemudian membangkitkan isu 1MDB serta kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib.

