Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Zaid gesa AG, berterus terang sebab sebenar dilantik

Alyaa Alhadjri

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim yakin keputusan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik sebagai peguam negara menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail bukan dibuat secara spontan.

Justeru, bagi membersihkan namanya, beliau menyarankan Apandi supaya menjelaskan sebab sebenar di sebalik pelantikan itu.

"Sebab sebenar tidak diketahui. Itulah yang seluruh negara mahu tahu. Mengapa beliau dipilih?” soal Zaid ketika dihubungi oleh Malaysiakini .

Zaid berkata pelantikan Apandi pada 27 Julai dibuat pada masa yang sangat kritikal dan ramai yang melihat keputusan itu bukan melalui "proses biasa".

Pelantikannya dilihat sebagai satu tindakan mendadak ketika pasukan khas yang pada masa itu diketuai oleh Gani sedang menyiasat skandal firma pelaburan negara, 1MDB yang sarat hutang.

Tidak sampai seminggu memulakan tugasnya, Apandi dilapor mengarahkan pasukan petugas berkenaan dibubarkan dan pihak berkuasa yang menyiasat diminta menjalankan tugas masing-masing secara berasingan.

"Berdasarkan semua itu, wawancaranya akan lebih bermakna sekiranya beliau menjelaskan isu sebenar," kata Zaid.

"Saya tidak peduli sama ada beliau menyokong Umno atau tidak," katanya.

Zaid melalui akaun Twitter sebelum ini berkata Apandi sepatutnya lebih berterus terang ketika diwawancara oleh portal dalam talian The Malaysian Insider .

"Adakah PM beritahu dia mengapa Gani terpaksa berundur? Apa yang perlu beliau lakukan? Bubarkan pasukan petugas khas? Dedah perkara yang sebenar," tulis tweet beliau.

Antara lain, Apandi dalam wawancara itu menafikan dakwaan bahawa beliau pernah berkhidmat sebagai bendahari Umno Kelantan.

Gani digantikan dengan alasan "sebab-sebab kesihatan" tetapi dalam penampilan awam pertama pada 3 Nov lalu, bekas peguam negara yang berusia 60 tahun itu berkata beliau dalam "keadaan baik" walaupun ketika berkhidmat dan terpaksa menjalani rawatan dialisis.