DAP enggan terlibat dalam isu dakwaan PAS cuba membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor.

Setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata isu itu “masalah rumah tangga” PAS dan mereka harus dibenarkan menyelesaikannya terlebih dahulu.

“Kami akan ulas perkara ini bila ia lebih jelas,” katanya yang juga ketua menteri Pulau Pinang itu.

Lim ( gambar ) diminta mengulas dakwaan bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa yang mendakwa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengaku cuba membentuk gabungan dengan Umno.

“DAP tidak mengkritik PAS dalam isu ini kerana kita tidak mahu terheret sama dalam politik dalaman mereka,” katanya

“Anggota PAS sendiri yang membangkitkan isu itu dan mengkritik kerajaan PAS berkaitan masalah pembalakan negeri.

“Kita tidak terlibat. Saya akan ulas jika DAP terlibat dalam rancangan PAS-Umno untuk membentuk kerajaan di Selangor.”

Husam pada 6 November lalu mendakwa Hadi pernah mengaku cuba membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor.

Sebagai reaksi, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kemelut dalaman yang melanda parti itu bukan disebabkan Hadi sebaliknya pemimpin yang tewas dalam muktamar lalu.

Umno Selangor menafikan dakwaan itu selain mempersoalkan logik dakwaan Husam itu.

[Baca berita asal]