'Dakwaan kontraktor enggan bayar gaji pengawal disiasat'
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat mengenai dakwaan sekumpulan pengawal keselamatan dari 10 buah sekolah sekitar Hulu Langat yang sedang menuntut gaji mereka.
"Saya sedang dapatkan maklumat itu dari Selangor petang ini, kita kena selesaikanlah, mana boleh macam itu kerana dia tidak ikut prosedur, tidak ikut peraturan.
"Kalau betul seperti didakwa pengawal keselamatan itu, jadi ia tidak adil buat (mereka) itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan buku teks interaktif di Nexus Bangsar hari ini.
Beliau mengulas rayuan kumpulan pengawal keselamatan itu yang menggesa Kementerian Sumber Manusia supaya membantu menuntut gaji mereka dari sebuah syarikat yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan.
Pemimpin PSM S Arutchelvan berkata tuntutan itu dibuat selepas peremuan dengan wakil kementerian Sumber Manusia bahawa ia satu kes di mana kontraktor yang dilantik kerajaan didakwa enggan membayar gaji penuh pengawal keselamatan itu
Antara tuntutan itu menyelesaikan gaji minimum yang didakwa masih belum dilaksanakan majikan meskipun kerajaan telah menguatkuasakannya pada Januari 2013.
Gaji minimum ditetapkan pada RM900 namun menurut pengawal keselamatan terbabit, mereka sebelum ini menerima bayaran gaji asas sekitar RM500.
Dalam memorandum mereka itu turut menyatakan bahawa pekerja yang terlibat telah membuat aduan kepada Jabatan Pendidikan Daerah Hulu Langat pada Ogos lalu.
Syarikat itu dilantik oleh Kementerian Pendidikan pada Januari 2013 dan kumpulan yang terdiri daripada 33 pengawal keselamatan yang masih bekerja sehingga hari ini.

