Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini mengakui beliau tidak tahu mengenai dakwaan bahawa video yang diterbitkan untuk menggalakkan kesedaran mengenai perlindungan hak cipta di bawah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) melanggar hak cipta penerbit tempatan.

"Saya tidak sedar tuntutan [...] tetapi apa-apa bentuk pelanggaran hak cipta tidak akan dibiarkan," katanya pada sidang media selepas sesi taklimat TPPA di Menara MITI di Kuala Lumpur.

Mengenai sama ada laman Facebook 'TPPA Malaysia’ yang memuat naik video itu diuruskan oleh kementeriannya, Mustapa berkata beliau tidak pasti.

Seorang kakitangan kementerian itu, bagaimanapun, kemudian memberitahu Malaysiakini bahawa mereka hanya mempunyai satu laman Facebook rasmi iaitu 'Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia'.

Penerbit filem Zarul Albakri semalam berkata video berkenaan menggunakan petikan filem Kembara Seniman Jalanan' 1986 tanpa izin daripadanya. Antara yang membintangi filem itu ialah M Nasir dan Pyanhabib.

Video yang berdurasi dua minit 30 saat mengenai TPPA itu bermula dengan teks yang menerangkan bagaimana artis dan pelakon menderita apabila kerja-kerja mereka 'tidak dihormati, dicuri, diciplak dan hak cipta mereka tidak dilindungi.

Ia kemudian memuatkan petikan visual 20-saat dari filem Zarul yang menunjukkan watak Bujang, lakonan M Nasir menyerbu sebuah sidang akhbar dan menumbuk seorang lelaki yang didakwa ‘mencuri’ lagunya.

Laman Facebook 'TPPA Malaysia’ ketika dihubungi meminta Malaysiakini merujuk kepada seksyen Akta Hak Cipta mengenai pengecualian yang dibuat bagi penggunaan bahan hak cipta.

TPPA Malaysia juga membuat komen di laman Facebook Pyanhabib dengan berkata bahawa penggunaan bahan hak cipta untuk tujuan bukan komersial bukan suatu kesalahan.

Seksyen 9 (4) Akta Hak Cipta menyatakan karya berkenaan boleh digunakan dalam penyelidikan, pengajian persendirian, kritikan, ulasan atau berita jika kerja-kerja asal yang dibuat itu diiktiraf.

Seksyen 9 (5) pula menyatakan bahawa kerajaan boleh menerbitkan semula karya berkenaan jika ia adalah untuk kepentingan awam.