Exco: Wang bantuan untuk mangsa di Balik Pulau belum diterima
Kerajaan Pulau Pinang mengakui mereka belum menyalurkan bantuan kepada nelayan yang menjadi mangsa banjir di beberapa tempat di Balik Pulau kerana belum menerima wang bantuan daripada Tabung Bencana Tsunami.
Kerajaan Pulau Pinang mengakui mereka belum menyalurkan bantuan kepada nelayan yang menjadi mangsa banjir di beberapa tempat di Balik Pulau kerana belum menerima wang bantuan daripada Tabung Bencana Tsunami.
Exco kerajaan negeri, Syed Ameruddin Datuk Syed Ahmad berkata, kira-kira 150 keluarga nelayan di Kampung Pulau Betong dan Batu Satu terlibat dengan bencana tersebut.
Bagaimanapun, pihak berkuasa telah menyalurkan bantuan persekolahan seperti yuran, pakaian dan buku kepada anak-anak mereka.
"Kita tidak dapat berbuat apa-apa kerana wang Tabung Bencana Tsunami sehingga hari ini (Jumaat) belum diterima, namun kita menjangka menerimanya dalam masa terdekat ini," katanya ketika diminta mengulas dakwaan nelayan di kampung tersebut yang mereka belum menerima bantuan daripada kerajaan.
Malaysiakini melaporkan sekurang-kurangnya 21 keluarga nelayan Kampung Pulau Betong dan Batu Satu mendakwa mereka hanya menerima bantuan zakat RM200 daripada Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).
Pagi tadi Syed Ameruddin mengadakan mesyuarat dengan Pejabat Daerah Balik Pulau bagi melancarkan lagi pembahagian bantuan kepada mangsa-mangsa bencana tsunami khususnya di Balik Pulau.
Ini adalah kerana terdapat pihak-pihak tertentu termasuk nelayan yang menjadi mangsa bencana tersebut telah membuat pendaftaran di beberapa tempat bagi mendapatkan lebih banyak bantuan.
Bina rumah
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Farid Saad yang turut serta dalam mesyuarat tersebut berkata semua mangsa tsunami termasuk nelayan di kawasannya akan mendapat bantuan yang secukupnya.
"Bantuan RM500 sekeluarga akan diberi esok atau lusa. Kita dan Pejabat Daerah sedang mengemaskini maklumat mangsa yang perlu mendapat bantuan kewangan tersebut," katanya lagi.
Beliau berkata, sehingga kini 2,100 keluarga mangsa telah mendapat bantuan makanan, pakaian dan persekolahan sejak tsunami berlaku pada 26 Disember lalu.
Katanya, kerajaan melalui Syarikat Perumahan Negara (SPN) akan membina rumah kekal kepada mangsa dengan diberi peluang membayar separuh dari harga sebenar.
"Begitu juga dengan bantuan bot, ada yang akan mendapat RM3,000, RM10,000 bergantung pada saiz bot masing-masing," katanya.
Farid meminta mangsa bersabar kerana kerajaan tetap memberi bantuan kepada mereka cuma perlu mengambil sedikit masa disebabkan jumlah mangsa yang terlibat adalah besar.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.