Ancaman pengganas: Jangan mudah percaya
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai bahawa pasukan itu tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang menyebut secara spesifik mengenai mana-mana lokasi yang menjadi sasaran pengganas.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, PDRM berkata, mereka sentiasa mempertingkatkan pengawasan dan kawalan keselaematan di tempat tumpuan awam demi keseleamatan orang ramai.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datin Asmawati Ahmad, berkata tindakan yang diambil oleh pasukan keselamatan itu di seluruh negara selaras dengan arahan Ketua Polis Negara.
"Peningkatan jumlah anggota polis di tempat tumpuan awam adalah bertujuan memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa PDRM sentiasa dalam keadaan kesiapsiagaan," katanya.
Awal hari ini Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya berpendapat ada beberapa lokasi yang berpotensi menjadi sasaran pengganas.
Lokasi yang dinyatakan Ahli Parlimen Putrajaya itu adalah Bukit Bintang, Bangsar dan Sri Hartamas.
Pada 14 Januari lalu Jakarta digegarkan dengan siri serangan bom dan tembak-menembak membabitkan pasukan keselamatan Indonesia dan pengganas.
Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam insiden itu.
Menurut Asmawati PDRM terkesan dengan sebaran maklumat melalui rangkaian komunikasi sosial yang menyebut secara khusus beberapa tempat "kononnya telah disahkan menjadi sasaran kumpulan pengganas" di Malaysia.
"PDRM memandang berat sebaran berita begini kerana ia telah membangkitkan kegusaran dan ketakutan masyarakat secara keterlaluan.
"Masyarakat dinasihati agar tidak mudah percaya dan berhenti berkongsi berita-berita yang boleh membangkitkan keresahan, khususnya yang bukan dikeluarkan oleh agensi keselamatan negara," katanya.

