PAS sekali lagi mengulangi desakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghentikan sikap boros, antaranya dengan mengecilkan saiz kabinet dan menamatkan jawatan penasihat khas bertaraf menteri.

"Sekurang-kurangnya rakyat mengharapkan PM akan memotong belanjawan Jabatan Perdana Menteri dan mengurangkan saiz kabinet mengikut keperluan bukan lagi berdasarkan tuntutan parti komponen BN.

"PM diseru menamatkan jawatan Penasihat Khas bagi beliau yang bertaraf menteri, termasuk empat hingga lapan pegawai dan pembantu yang diperuntukkan kepada setiap satu," kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata demikian ekoran laporan bahawa kerajaan mahu menggantung biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pelajar universiti di peringkat sarjana muda dan bursari bagi pelajar program pra-universiti bagi tahun 2016.

Menurut Tuan Ibrahim, keputusan itu memberi bayangan bahawa pengubahsuaian bajet yang akan dibentang perdana menteri pada 28 Januari ini akan hanya menambahkan tekanan kepada kehidupan rakyat.

"Rakyat sangat mengharapkan agar PM mengambil tindakan drastik mengurangkan ‘kos sara kerajaan’ terlebih dahulu.

"Oleh itu, PM mesti menunjukkan teladan dengan menghentikan sikap boros beliau dan keluarga yang menjadi buah mulut rakyat," katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar turut mengulangi desakan supaya kabinet perdana menteri dikurangkan daripada 35 kepada 15 hingga 19 anggota sahaja. Manakala jawatan penasihat dan Duta khas PM yang bertaraf menteri turut dimansuhkan.

Gesaan sama turut disuarakan Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin dalam satu kenyataan media.