ULASAN "Semua ahli PAS diminta hadir seperti tercatit dalam perlembagaan yang meminta ahli mengambil mengambil bahagian dalam apa juga program anjuran parti," demikian mesej yang disebarkan kepada ahli parti berkenaan di Negeri Sembilan beberapa hari lalu.

Itulah PAS. Segala perbuatan dan perancangannya sentiasa mengikut perlembagaan parti. Dengan tarbiah yang disusun oleh para ilmuwan parti, ahli pasti tahu benar bahawa apa yang dirancang tentu tersimpan hikmah.

Justeru itu yang terpancar pada protes Bantah TPPA pada Sabtu lalu.

Amat salah bagi sesiapa yang menganggap protes aman damai di Padang Merbok, Kuala Lumpur itu gagal, bahkan ia sebenarnya amat berjaya.

Pada kemuncak perhimpunan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan jumlah kehadiran ialah kira-kira 25,000 orang.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan pula menjangkakan kehadiran rakyat yang prihatin kepada nasib dan masa depan negara yang terancam oleh Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) "antara 50,000 hingga 60,000 orang".

Anggaran itu dibuat sebelum pun perhimpunan bermula.

Rahsia disiplin PAS

Lihatlah bagaimana rakyat digerakkan oleh PAS jika sesuatu protes dijalankan dengan membabitkan parti berkenaan.

Dalam perkiraan jumlah peserta pun sudah dapat dilihat keberkesanan jentera PAS menggerakkan rakyat. Ia adalah tamparan besar kepada protes-protes lain yang tidak menyertakan parti Islam berkenaan.

Justeru, dibandingkan protes Bantah TPPA pada Sabtu lalu, BERSIH 4 pada Ogos 2015 adalah gagal.

Protes Bantah TPPA juga berjaya menyatukan pelbagai pertubuhan yang berbeza aliran untuk bergerak atas satu matlamat - menyelamatkan Malaysia daripada penjajahan bentuk baru yang berselindung di sebalik perjanjian Trans Pasifik.

Satu lagi kejayaan PAS pada Sabtu lalu ialah memastikan perjalanan protes berlangsung dengan aman. Tiada langsung kedengaran insiden cabar mencabar, provokasi atau kerosakan bunga-bungaan dilaporkan.

Jika Datuk Abdul Rahman Dahlan atau wakil daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak menghantar sebarang tuntutan ganti rugi kepada penganjur, itu juga adalah jasa besar PAS kepada pembangunan sahsiah rakyat negara ini ketika berdemonstrasi.

Apakah rahsia PAS sehingga berjaya mencatat sejarah besar pada Sabtu lalu? Jawapannya ialah disiplin. Siapa tidak kenal dengan tahap disiplin ahli parti itu, terutama ketika mentaati arahan pimpinannya?

Ranggi jalan terakhir

Suka atau tidak, peserta - terutama ahli dan penyokong PAS - turun dari rumah masing-masing ke Padang Merbok dengan penuh kesedaran, lengkap dengan latar belakang dan kesan-kesan dibawa TPPA jika ia ditandatangani kerajaan nanti.

Maknanya, kemarahan mereka bukan kosong tetapi berisi. Malah mungkin sama dengan kemarahan sebahagian ahli PAS ketika Naib Presiden PKR Tian Chua menyebut nama Parti Amanah Negara (AMANAH).

Kesilapan kebanyakan media ialah, wartawan mereka gagal bertanya kepada kebanyakan peserta sama ada mereka benar-benar tahu apakah makna TPPA kepada negara dan rakyat negara ini atau sebaliknya.

Lebih penting ialah, protes Bantah TPPA pada Sabtu lalu benar-benar memenuhi peranan dan tugas PAS sebagai penasihat kerajaan yang dibuat demi kesejahteraan rakyat.

Tidak perlu untuk PAS bergocoh untuk berseteru dengan kerajaan. Mungkin pada persidangan parlimen PAS boleh mengambil pendekatan lunak, hikmah dan terpuji seperti pernah mereka lakukan sebelum ini.

Bukankah bukankah Islam itu sendiri adalah nasihat?

Senjata dan keranggian adalah jalan terakhir. Ketika itu PAS memiliki senjata sulit paling ampuh mereka - siku dan lutut .