AG Switzerland: Najib bukan suspek siasatan terhadap 1MDB
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak bukan antara mereka yang disyaki dalam siasatan Switzerland terhadap dakwaan penyelewengan AS$4 bilion daripada 1MDB, kata Pejabat Peguam Negara (OAG) Switzerland.
Jurucakap OAG, Andre Marty memberitahu Nikkei Asian Review bahawa dalam prosiding jenayah yang berterusan OAG, Najib bukan salah seorang daripada pegawai awam yang disyaki.
Sebelum ini OAG mendedahkan ia mengesyaki bekas pegawai-pegawai Malaysia dan 'orang yang tidak dikenali' terlibat dalam dakwaan penyelewengan dana dari syarikat milik negara.
Marty memberitahu Nikkei bahawa frasa 'orang yang tidak dikenali' dalam undang-undang Switzerland bermakna terdapat syak yang munasabah bahawa satu kesalahan telah dilakukan tetapi mereka yang melakukan jenayah itu masih belum dikenal pasti.
Ini juga selepas pihak berkuasa Singapura berkata ia telah menyita akaun bank dalam siasatannya mengenai kemungkinan berlaku pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.
Singapura turut bekerjasama dengan penyiasat Switzerland.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, 1MDB berkata ia tidak dihubungi oleh mana-mana pihak berkuasa asing berhubung siasatan terhadap urusan firma itu.
1MDB berkata, ia terus komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan mana-mana kuasa yang sah dan penyiasatan, tertakluk kepada nasihat daripada pihak berkuasa yang berkaitan dalam negara, dan mengikut protokol antarabangsa yang mengawal perkara itu'
Najib minggu lalu dibersihkan oleh Peguam Negara Malaysia Tan Sri Mohamed Apandi Ali daripada sebarang salah laku berkaitan dengan derma RM2.6 bilion (AS$681 juta) dan RM42 juta yang disalurkan dari firma milik negara SRC International ke dalam akaun bank peribadinya.
Sumbangan itu adalah daripada 'keluarga diraja Arab' dan daripada jumlah itu, AS$620 juta telah dipulangkan oleh Najib kepada pendermanya.
Timbalan Menteri Aziz Kaprawi berkata, AS$61 juta telah digunakan untuk pilihan raya umum ke-13.
Najib telah menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengambil wang rakyat untuk kegunaan peribadi.
Apandi berkata Malaysia akan membantu siasatan Switzerland walaupun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kurang senang terhadap pihak berkuasa Switzerland yang membuat kenyataan terbuka berhubung kerjasama dalam siasatan mengenai 1MDB.

