Mahathir ragui AG akan kerjasama dengan Switzerland
Bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad meragui bahawa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan bekerjasama dengan Pejabat Peguam Switzerland berhubung siasatan ke atas 1MDB.
Mahathir mendakwa, ini kerana jawatan yang disandang Apandi kini diperoleh atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - yang telah dibersihkan namanya oleh Apandi daripada sebarang kesalahan.
"Ini bermakna peguam negara berhutang kepada perdana menteri berhubung kedudukannya.
"Adakah beliau dijangka untuk mendakwa seseorang yang mana beliau berhutang berhubung jawatannya?
“Mengetahui bahawa peguam negara terdahulu telah disingkirkan kerana cuba untuk melakukan perkara sama (mendakwa), peguam negara yang baru tidak mungkin akan mendakwa perdana menteri," kata Mahathir dalam blognya hari ini.
Pejabat peguam negara Switzerland sebelum ini membuat kenyataan bahawa siasatannya mendapati ada " tanda-tanda serius " bahawa dana itu telah disalah guna.
Bagaimanapun, pejabat itu berkata Najib bukan salah seorang daripada pegawai awam yang disyaki.
Ekoran itu, Apandi berkata pihak berkuasa Malaysia termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC) komited bekerjasama dengan semua entiti penguatkuasaan undang-undang luar negara berkaitan, menerusi konvensyen dan perjanjian antarabangsa yang sah.
Malah, beliau berkata 1MDB juga turut memberi kerjasama setiap kali siasatan dijalankan.
"Saya mengambil maklum kenyataan Pejabat Peguam Negara Switzerland, dan kenyataan seterusnya yang dikaitkan dengan Peguam Negara Switzerland oleh sebuah akhbar Amerika, berhubung siasatan dibuat terhadap dua bekas pegawai 1MDB.
"Pihak berkuasa Malaysia dan saya sendiri berusaha keras mengumpul segala fakta berkaitan 1MDB yang membawa kepada pelbagai dakwaan terhadap syarikat itu baru-baru ini.
“Sebab itu beberapa siasatan sedang dijalankan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Audit Negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

