Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Apandi jawab kritikan mentornya Abu Talib
Diterbitkan:  Feb 6, 2016 11:58 PM
Dikemaskini: 6:38 PM

Peguam Negara (AG) Tan Sri Mohamed Apandi Ali menolak pendapat pendahulunya Tan Sri Abu Talib Othman bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk menutup kes RM2.6 bilion, sambil menambah bahawa semua yang dia lakukan adalah berdasarkan kepada apa yang dia telah belajar dari bekas AG itu.

Apandi berkata beliau hanya mengikuti jejaknya dan "sekarang beliau kata, saya tidak boleh berbuat demikian. Saya keliru."

"Saya harap beliau boleh datang berjumpa dengan saya supaya saya boleh memberi penjelasan saya," Apandi dipetik sebagai berkata oleh Sinchew Daily dalam satu temu bual eksklusif.

Minggu lalu, Abu Talib mengkritik Apandi dengan mendakwa bahawa AG tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan terhadap derma RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

"Di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, AG mempunyai kuasa hanya untuk memulakan, menjalankan dan memberhentikan sebarang prosiding (jenayah), tetapi tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan mana-mana agensi penyiasatan untuk menutup kertas siasatan.

"Ini adalah kes kepentingan awam yang telah menarik perhatian seluruh dunia. AG mesti membantu SPRM untuk mengumpul bukti kerana sumber dana itu adalah di luar Malaysia," kata Abu Talib.

Dalam hal yang berkaitan, Apandi juga menegaskan bahawa dia tidak pernah meminta rakan sejawatannya dari Switzerland supaya menutup siasatan negara itu terhadap 1MDB semasa satu pertemuan September lalu.

"Saya tidak pernah berkata demikian... Itu satu pembohongan. Saya tidak pernah menyebut sebarang kes 1MDB. Ia adalah kunjungan hormat... Jika Switzerland memerlukan sebarang bantuan, saya akan memberikannya...

"Pertemuan itu adalah mengenai bantuan perundangan bersama. Kita boleh membantu pada bila-bila masa, itu sahaja."

Apandi berkata pertemuan itu antara beliau dan AG Switzerland Michael Lauber turut dihadiri oleh Timbalan Peguam Cara Negara Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan seorang pegawai dari pejabat Lauber.

Beliau berkata pejabat Peguam Negara Switzerland telah meminta bantuan Pejabat Peguam Negara melalui Kementerian Luar Negeri, dan permintaan rasmi yang difailkan mereka hanya sampai kepadanya pada 4 Februari

Bagaimanapun, Apandi berkata beliau masih belum membaca dokumen Switzerland itu.

Pejabat Peguam Negara, katanya, akan memberi bantuan kepada Switzerland di bawah protokol bantuan perundangan bersama, walaupun beliau enggan mendedahkan butiran kerana ia adalah "rahsia".

Minggu lalu, Reuters melaporkan bahawa seorang pegawai Malaysia menggesa Lauber supaya menggugurkan penyiasatannya berkaitan 1MDB semasa satu pertemuan September lalu.

Sebelum keputusan Apandi untuk menutup kes terhadap Najib, Lauber melalui pejabatnya telah dilaporkan membuat permintaan kepada Malaysia untuk mendapatkan bantuan dalam siasatan negaranya terhadap 1MDB berhubung kemungkinan pelanggaran undang-undang Switzerland berkaitan dengan dakwaan sogokan kepada pegawai asing, salah laku di pejabat awam, pengubahan wang haram dan jenayah salah urus.

Lauber juga dilaporkan berkata bahawa Najib bukan suspek dalam siasatan Switzerland itu.

Apandi kemudiannya berkata beliau akan mengambil semua langkah yang mungkin untuk membantu pihak berkuasa Switzerland tetapi menegaskan bahawa siasatan terhadap derma RM2.6 bilion kepada Najib adalah berasingan sepenuhnya daripada siasatan terhadap 1MDB.

Apandi juga berkata pelantikannya ke Pejabat Peguam Negara adalah sah dan mengikut perlembagaan.

Beliau berkata, masalah kesihatan yang dialami pendahulunya, Tan Sri Abdul Gani Patail, bukan merupakan satu rahsia lagi.

Abdul Gani, katanya, perlu melakukan dialisis tiga hari seminggu, yang membuat bekas AG itu hanya mampu bekerja hanya dua hari setiap minggu, tolak hujung minggu.

Sebaliknya, Apandi berkata dia telah bekerja tanpa mengenal penat lelah selepas mengambil alih jawatan itu.

"Anda lihat, dengan beban kerja AG, saya tidak dapat mengambil cuti selepas saya memegang jawatan itu. Saya bekerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

"Saya juga malah perlu bekerja dari rumah (selepas waktu pejabat)," katanya sambil menambah beliau perlu mengekalkan komunikasi dengan pegawai-pegawainya melalui emel apabila berada di rumah.

Sebagai contoh, katanya, dia terpaksa bekerja sehingga satu pagi bagi sesuatu kes yang segera.

Apandi juga berkata beliau telah membuat "pengorbanan kewangan" selepas menyertai perkhidmatan awam daripada sektor swasta.

Walau bagaimanapun, katanya, beliau telah diberi penghormatan untuk berkhidmat kepada negara dan Agong.

"Saya tidak pernah minta kerja ini (AG). Saya telah ditawarkan untuk menjadi AG."

Sebelum ini, Apandi berkata dia boleh memperolehi RM15,000 bagi satu kes ketika dalam amalan swasta, tidak termasuk tambahan yuran konsultansi perundangan.

"Pada masa itu pesuruhjaya kehakiman boleh mendapat gaji asas RM17,000. Bagi saya, itu tak ada apa-apa, tambah elaun lain, ia hanya akan sampai tidak lebih daripada RM20,000."

Katanya, beliau telah melabur wang yang diperolehi daripada amalan undang-undang ke dalam hartatanah, termasuk Wisma Apandi yang telah dibina di kampung halamannya di Kota Bahru.

Bangunan ini, katanya, telah memberikan beliau pendapatan sewa yang lumayan.

Apandi telah dilantik menjadi AG selepas pendahulunya Abdul Gani ditamatkan perkhidmatannya yang dikatakan atas "masalah kesihatan" Julai lalu, yang bertepatan dengan rombakan kabinet yang menyaksikan timbalan perdana menteri, yang vokal mengenai skandal 1MDB, digugurkan.

Pada akhir bulan Januari, beliau membersihkan Najib daripada sebarang salah laku jenayah berhubung kes sumbangan RM2.6 bilion dan RM42 juta dari SRC International.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS