Abu Talib: AG tak akan keliru jika ikut jejak mentornya
Bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman membidas Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mendakwa beliau hanya mengikut "jejak langkah mentornya" dengan membebaskan Perdana Menteri dalam tuduhan salah laku yang dikaitkan dengan 1MDB.
"Jika beliau (Apandi) 'hanya mengikuti jejak langkah mentornya' maka dia tidak akan berada dalam keadaan keliru fikiran apabila beliau membuat keputusan dan mengarahkan SPRM untuk menutup penyiasatan yang masih berjalan.
"Dalam situasi semasa, keputusan itu telah menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai dakwaan terhadap PM dan keadaan siasatan membabitkan aktiviti-aktiviti 1MDB dan orang yang berkaitan dengan syarikat itu," kata Abu Talib kepada Malaysiakini.
Abu Talib berkata demikian sebagai mengulas Apandi dalam temu bual dengan Sin Chew Daily hari ini mempertahankan keputusannya untuk membersihkan Najib.
Apandi berkata tindakannya adalah berdasarkan apa yang dipelajarinya dari Abu Talib, yang menjadi peguam negara dari 1980 hingga 1993.
"Saya hanya mengikuti jejak langkah mentor saya. Sekarang dia berkata, saya tidak boleh berbuat demikian. Saya keliru.
"Saya harap dia boleh datang berjumpa dengan saya supaya saya boleh memberi penjelasan saya," kata Apandi yang mengulas kritikan Abu Talib bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan SPRM menutup failnya.
Abu Talib berkata, beliau tidak ingat sebarang kes di mana beliau mengarahkan pihak berkuasa penyiasat menghentikan siasatan.
"Mungkin Apandi boleh menyegarkan ingatan saya," katanya, sambil menambah bahawa ia sentiasa menjadi amalan beliau semasa memegang jawatan untuk menyediakan bantuan yang perlu kepada pihak berkuasa penyiasat.

