Parti Amanah Negara (AMANAH) mengkritik langkah Tabung Haji menjual asetnya di London sedangkan aset tersebut didakwa memberi pulangan 8 peratus setahun.

Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata penjualan aset itu dilapor mendatangkan hasil hampir RM1.6 bilion dan mampu memberi pulangan melebihi RM160 juta setahun.

"Apabila aset sebegini yang mampu memberikan pulangan tinggi dijual, apa akan dilakukan Tabung Haji untuk masa-masa akan datang?

"Sangat dikhuatiri bahawa tindakan Tabung Haji adalah tidak lain daripada menjual ‘angsa yang memberikan telur emas’ selama ini ( selling the goose that lays the golden egg )," katanya pada kenyataan media hari ini.

Menurut Salahuddin, penjualan aset berharga yang mendatangkan pulangan baik dilakukan demi memenuhi kehendak pembayaran bonus tinggi.

Melalui bonus setinggi 5 peratus dan bonus haji tambahan sebanyak 3 peratus, beliau berkata Tabung Haji cuba memberi gambaran kedudukan kewangan kukuh sekaligus menepis sangkaan buruk terhadapnya.

"Ini adalah tindakan tidak berhemah dari sudut perniagaan tetapi mungkin mampu mencapai kesan yang diingini dari sudut ‘politik’," katanya.

Salahuddin mendakwa keadaan sama berlaku dengan pembelian tanah TRX dari 1MDB yang didakwanya demi membantu syarikat pelaburan negara itu.

"AMANAH mendesak supaya pihak TH menetapkan secara tuntas apa yang ingin dilakukan dengan tanah tersebut dan hentikan ketidaktentuan yang terus menjejas keyakinan pelabur dan penyimpan terhadapnya," kata Salahuddin.

Sebelum ini, Tabung Haji mencipta kontroversi apabila Bank Negara dilapor memberi amaran bahawa rizab badan itu sudah mencapai paras negatif dan asetnya semakin berkurangan berbanding liabiliti.

Gabenor Bank Negara juga dilapor memberi amaran 8.8 juta pencarum tidak akan memperolehi dividen sekiranya tiada langkah diambil bagi mengatasi perkara itu.

Bagaimanapun Tabung Haji minggu lalu mengumumkan pembayaran bonus sebanyak 5 peratus dan bonus haji tambahan sebanyak 3 peratus bagi menepis dakwaan buruk terhadapnya.