Duta sahkan 3 bot nelayan M'sia ditahan di Batam
Duta Indonesia Herman Prayitno mengesahkan penahanan tiga bot nelayan Malaysia kerana didakwa menangkap ikan secara haram berhampiran Batam di perairan republik itu.
Herman memberitahu Malaysiakini bahawa tiga bot itu ditahan pada 3 Mac alu dan kini ditahan oleh pihak berkuasa marin di Batam.
"Ahli keluarga mereka yang ditahan telah dimaklumkan dan mereka akan didakwa di mahkamah. Ini adalah prosedur biasa, sama seperti di Malaysia," kata Herman.
Ditanya mengenai status memorandum yang diserahkan oleh Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos berkaitan perkara itu Isnin lalu, Herman berkata, ia telah dikemukakan kepada menteri luar Indonesia.
"Kami (Kedutaan Indonesia) juga mencadangkan supaya memorandum itu juga diserahkan kepada Wisma Putra supaya tindakan selanjutnya boleh diambil.
"Mereka juga diminta menyediakan peguam apabila kes berkenaan dibawa ke mahkamah," katanya.
Ditanya mengenai nasib seorang nelayan Malaysia yang didakwa hilang selepas bot itu ditahan, Herman berkata beliau tidak pasti sama ada lelaki itu berada di bawah tahanan pihak berkuasa Indonesia.
"Kita perlu semak," katanya sambil menambah bahawa ahli keluarga nelayan berkenaan boleh secara langsung menghubungi Wisma Putra atau Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta," katanya.
Isnin lalu, media Indonesia yang memetik Ketua jabatan Perikanan dan Sumber Marin Batam, Akhmadon, berkata tiga bot - dikenal pasti sebagai KM SLFA 4625, KM KHF1917 dan KM PKFB 1512 - ditahan bersama-sama dengan 14 anak kapal.
Daripada 14 yang ditangkap itu, dua adalah warganegara Malaysia, manakala selebihnya terdiri daripada tiga warga Indonesia dan sembilan dari Myanmar.

