Dash: Penduduk tuntut jawapan kerajaan Selangor
Penentang Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (Dash) menggesa kerajaan Selangor berterus terang mengenai perkembangan terkini sekitar projek yang dicadangkan.
Mesej mereka dihantar semasa bantahan secara aman yang dihadiri oleh kira-kira 150 penduduk Damansara Perdana pagi ini.
Jurucakap gerakan "Say No to Dash" Mak Khuin Weng memberitahu Malaysiakini penduduk sukar mempercayai kerajaan negeri bahawa tiada kelulusan diberikan untuk projek lebuh raya berharga RM11.5 bilion itu.
"Kami hanya mahu jawapan yang terus dari kerajaan Selangor.
"Anda sentiasa mengatakan bahawa projek itu belum diluluskan tetapi tindakan anda menunjukkan sebaliknya," dakwa Mak ketika dihubungi selepas himpunan yang diadakan di Damansara Perdana.
Mak menyebut dua notis berasingan dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor seperti disiarkan sebuah akhbar tempatan pada 16 Mac terhadap cadangan untuk membatalkan gazet hutan simpan bagi tujuan membina Dash dan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke).
Beliau juga berkata syarikat swasta melalui satu kenyataan kepada Bursa Malaysia pada 3 Mac mengumumkan bahawa kerajaan negeri Selangor telah memperoleh bahagian tanah sebanyak RM79.5 juta untuk tujuan yang sama.
"Jadi siapa yang anda (kerajaan negeri) mahu rakyat percaya?," kata Mak yang sebelum ini telah menentang pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).
Mak berkata, peserta yang berkumpul hari ini secara serentak menghantar pesanan teks kepada ADUN mereka Elizabeth Wong, yang juga exco negeri yang bertanggungjawab bagi alam sekitar.
Malaysiakini telah menghubungi Wong untuk mendapatkan komen.

