Lebuh raya DASH tak langgar manifesto Pakatan, kata MB
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pembinaan Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (DASH) tidak melanggar manifesto Pakatan kerana ia bukan diluluskan oleh kerajaan negeri.
Sebaliknya, kata beliau kelulusan pembinaan lebuh raya DASH telah diberikan oleh kerajaan persekutuan kepada syarikat konsesi tersebut.
“Kita kena ingat ini syarikat konsesi yang diberikan kelulusan oleh kerajaan persekutuan bukan kerajaan negeri, kita hanya melihat kepada pembangunan lebuh raya.
“Dan memberikan kebenaran mengikut jajaran yang dibenarkan, itu sahaja bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita ketika lawatan ke rumah Allahyarham Aminulrasyid Amzah di Shah Alam petang tadi.
Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada projek lebuh raya itu melanggar manifesto Pakatan yang mahu memansuhkan tol.
Kerja-kerja pembinaan projek lebuh raya DASH dijangka bermula pada Ogos ini.
Ia kini masih pada peringkat reka bentuk terperinci.
Sebelum ini, pemimpin Umno menyelar kerajaan negeri Selangor kerana didakwa tidak menunaikan janji memansuhkan tol apabila meluluskan pembinaan lebuh raya baru, termasuk DASH.
Mengulas lanjut, Azmin berkata sekiranya Pakatan Harapan diberikan mandat pada pilihan raya umum akan datang, pihaknya akan tetap memansuhkan tol tersebut.
“(Itu) manifesto kerajaan persekutuan, kalau ditakdirkan diberikan mandat di Putrajaya insya-Allah kita akan laksanakan (memansuhkan tol). Sekarang kemenangan kita ditangguhkan,” katanya.
Sementara itu, Azmin ketika ditanya sama ada pembinaan lebuh raya DASH akan mengganggu ekosistem alam sekitar, berkata ia tidak akan berlaku kerana kerajaan negeri mempunyai dasar yang jelas.
“Ssekiranya ada keperluan untuk membatalkan sebahagian hutan simpan ia perlu diganti terlebih dahulu dan ia perlu berjalan serentak supaya sebarang bentuk pembangunan tidak akan mencemarkan alam sekitar negeri Selangor,” katanya.

