Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him hari ini mempersoalkan sendiri kedudukannya yang dalam keadaan “tergantung” apabila DAP sebelum ini menggantung keahliannya selama setahun.

Ia berikutan tindakan Dewan Undangan Negeri Melaka pagi ini yang mengumumkan bahawa ADUN Duyong, Goh Leong San adalah wakil rakyat Bebas .

Febuari lalu, DAP menggantung keahlian selama setahun terhadap Sim dan Goh yang juga adalah pengerusi DAP Melaka.

Setiausaha jawatankuasa tatatertib DAP, Tai Xing Piao berkata bahawa kedua-dua mereka digantung keahlian kerana berulang kali membuat kenyataan yang merosakkan reputasi parti.

Mengulas lanjut, Sim berkata, beliau tidak pasti sama ada dirinya masih lagi mewakili DAP atau pun parti bebas memandangkan tidak menerima maklum balas dari parti itu.

Malah katanya, beliau telah pun bertemu Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi bertanyakan statusnya bagaimanapun, Pandikar berkata, ia bergantung kepada parti.

“Saya telah menulis kepada speaker bahawa keahlian DAP saya telah digantung selama setahun dan saya akan lihat speaker akan tentukan kedudukan saya.

“Hari pertama saya masuk dewan pada sesi ini, tempat duduk saya masih sama. Saya ada berbincang secara terbuka dengan speaker, dia kata kedudukan saya bergantung kepada parti.

“Hanya kalau parti kata kamu sudah jadi parti bebas, dan kamu akan jadi bebas (bukan lagi DAP),” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Sim ketika ditanya mengakui beliau kecewa kerana dipinggirkan dari partinya.

“Ya, saya sedang dipinggirkan. Seperti yang saya katakan sebelum, jika sebelum ini saya kata jika terdapat satu trend yang (menendang keluar dari pembangkang) saya rasa sangat sedih.

“Pada peringkat ini hanya awak dapat kata ‘yes man’ dan ia sangat menyedihkan,” katanya.