Pelan mesra alam untuk pembangunan Jeti Koay
Pokok bakau yang pupus di sekitar Jeti Koay di George Town, Pulau Pinang akan diganti semula sebagai sebahagian daripada pelan alternatif untuk menjadikanya taman alam semulajadi dan warisan bertaraf dunia, kata sebuah kumpulan pelobi yang diwujudkan untuk memulihara kawasan tersebut.
Pokok bakau yang pupus di sekitar Jeti Koay di George Town, Pulau Pinang akan diganti semula sebagai sebahagian daripada pelan alternatif untuk menjadikanya taman alam semulajadi dan warisan bertaraf dunia, kata sebuah kumpulan pelobi yang diwujudkan untuk memulihara kawasan tersebut.
Cadangan itu telahpun dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi oleh Kumpulan Bertindak Menyokong Kawasan Bakau dan Jeti Koay, yang dianggotai 10 badan bukan kerajaan (NGO).
Kerajaan negeri telah menebang kawasan bakau di situ untuk memajukan kawasan tersebut sebagai pusat pengangkutan, komersial dan perumahan dalam masa empat tahun akan datang.
Bagaimanapun, kumpulan tersebut mencadangkan supaya kawasan itu dijadikan sebuah bandar yang lengkap dengan pusat warisan dan ekologi, sistem pengangkutan dan kawasan kediaman yang mampu dimiliki. Kumpulan ini juga sudah mula menanam semula pokok bakau dekat Jeti Koay.
Jurucakapnya, Dr Anwar Fazal menggesa Perdana Menteri supaya mengubah minda kerajaan negeri Pulau Pinang dan pihak-pihak berkuasa berkenaan.
"Kami masih boleh membina rumah, mempunyai pusat pengangkutan dan perniagaan yang berkaitan dengan pelancongan serta kemudahan asas bagi membantu para penyelidik tinggal dan menjalankan kajian mereka.
"Taman warisan bakau yang jarang ada, taman marin, taman warisan dan kebudayaan serta pusat penyelidikan itu, akan menjadi satu daya tarikan global yang unik," tegasnya.
Hargai kawasan bakau
Dalam cadangan itu, kumpulan berkenaan menyentuh mengenai bencana tsunami pada 26 Disember lalu yang melanda kawasan pantai Pulau Pinang, yang mengorban dan memusnahkan kampung nelayan dan kawasan pantai. Kemusnahannya tidak begitu teruk di kawasan yang ada hutan bakau yang bertindak sebagai penahan kepada tsunami.
Ia juga menekankan bahawa hutan bakau memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan ekologi dan menjadi tapak untuk perkembangan alam semula jadi yang turut menggalakkan bio-diversiti.
"Orang ramai mesti belajar, menghargai dan menghormati sejarah, warisan dan bakau. Kita mesti mengambil iktibar daripada bencana tsunami, yang mengajarkan kita satu pengajaran yang tidak ternilai, dan mesti mengelak mengulangi kesilapan yang sama," kata Anwar.
Kumpulan itu turut merayu kepada Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan pihak berkuasa alam sekitar supaya memberi pertimbangan yang serius kepada cadangan tersebut.
Kawasan bakau menjadi tempat tinggal 30 spesis yang dilindungi seperti burung berhijrah, termasuk hampir 200 burung pucung berkepala hitam dan banyak lagi kehidupan marin, seperti ketam.
Jabatan Alam Sekitar negeri telah menempatkan semula burung pucung dan burung berhijrah yang tempat lain ke Taman Negeri, untuk membolehkan pemaju membersihkan kawasan bakau itu satu-satunya yang masih tinggal di bandaraya George Town, yang juga asalnya kawasan bakau.
Di bawah cadangan pembangunan alternatif itu, kumpulan pelobi tersebut turut mencadangkan supaya dipelihara ciri-ciri sejarah dan warisan masyarakat Islam Hui.
Jeti Koay dan Jeti Peng Aun, yang mempunyai 50 rumah yang menempatkan 350 penduduk, merupakan jeti terakhir yang masih tinggal di lapan kawasan penempatan awal puak masyarakat Cina yang terletak di antara pangkalan feri dan flat Lebih Noordin.
Jeti puak Lim, Chew, Tan, Lee, New dan Yeoh terletak di dalam zon warisan George Town dan akan dipelihara.
Kawasan bakau dan jeti puak Koay itu adalah sebahagian daripada kawasan 10 hektar juga termasuk ladang Prangin dan jeti puak Peng Aun yang akan dimajukan sebagai bandar baru dengan 2,200 unit tempat kediaman, lot komersial dan pusat pengangkutan.
Ianya merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan negeri untuk 'menyegarkan semula' bandaraya George Town yang telah menjadi 'bandaraya tinggal' sejak Akta Kawalan Sewa (Pemansuhan) 1997 dikuatkuasakan.
----------------------------------------------------------------------------
ATHI VEERANGGAN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Pulau Pinang

