Cadangan penanaman hutan paya bakau di Pulau Pinang tidak perlu dijadikan satu projek mega bagi mengelak badan korporat dan syarikat multinasional daripada mengambil kesempatan itu untuk membuat keuntungan yang besar.

Bagaimanapun, jika kerajaan masih mahu menjadikannya satu projek mega, maka ia mesti diserahkan untuk dilaksanakan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan pemuliharaan alam semulajadi.

Pengerusi Kebajikan Nelayan Pantai (Pifwa) Saidin Hussein berkata, adalah satu kesilapan besar jika kerajaan menawarkan kontrak jutaan ringgit itu kepada badan korporat dan syarikat multinasional yang tidak berpengetahuan dalam bidang penanaman, tanaman semula dan memelihara hutan bakau.

"Syarikat-syarikat ini tidak akan ikhlas dan jujur dalam memajukan hutan berkenaan. Mereka akan lebih berminat untuk mengaut keuntungan besar," katanya sambil menegaskan, kos projek itu akan lebih rendah jika ianya dilaksanakan NGO tempatan.

Saidin menegaskan demikian sebagai mengulas cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini supaya kerajaan menanam dan menanam semula hutan bakau di kawasan pantai bagi menjadi zon penampan ketika malapetaka seperti bencana tsunami Disember lalu.

Sementara kerajaan hanya menyedari pentingnya kewujudan hutan bakau selepas bencana tsunami baru-baru ini, ahli-ahli Pifwa telah lama menanam 32,000 pokok bakau di sepanjang pantai Balik Pulau, Kuala Sungai Pinang, Sungai Chenang dan Batu Kawan.

Mereka telah memajukan kawasan hutan tersebut sejak tahun 1997.

Menjadi penampan penting

Sementara itu, Penasihat Pifwa, P Balan pula berkata pokok bakau memang telah terbukti menjadi penampan penting di sepanjang kawasan pantai bagi meminimakan kadar kerosakan akibat ombak besar.

"Beberapa kampung terselamat daripada kerosakan teruk sewaktu bencana tsunami kerana terdapat hutan bakau di situ," tambahnya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kerajaan supaya jangan melancarkan program mega tanaman bakau tanpa terlebih dahulu menjalankan kajian terperinci mengenainya.

Katanya, ini kerana badan-badan korporat boleh memanipulasikan keadaan itu untuk mengautkan keuntungan yang besar daripada projek tersebut.

Selain menjadi zon penampan yang penting, hutan bakau juga membekalkan ubat herbal, kayu api dan madu. Ia juga menjadi tempat pembiakan semulajadi kehidupan laut serta mengimbangi sistem ekologi dan menjadi penuras kepada pencemaran air.

Pada masa ini, Pulau Pinang mempunyai 1.036 hektar kawasan bakau, terutama di sepanjang pantai di sebelah barat daya - jauh merosot berbanding dengan 3,243 hektar 10 tahun yang lalu. Seluas 376 hektar lagi merupakan hutan simpanan tetap bakau.

Sejak tahun 1995, purata 130 hektar kawasan bakau dibersihkan setiap tahun untuk dimajukan sebagai kawasan perumahan, zone industri dan kawasan ternakan ikan dan udang.

Berdasarkan kadar itu, Pifwa percaya hutan bakau akan pupus di Pulau Pinang dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Kerana kebimbangan itu, ahli-ahli Pifwa telah memulakan program tanaman pokok bakau secara sukarela dengan menanggung sendiri kosnya.

"Pulau Pinang memerlukan 10,000 hektar hutan bakau untuk melindungi alam sekitar. Jika tidak, kita akan berdepan dengan bahaya alam sekitar dan kepupusan kehidupan laut," tegas Balan.

----------------------------------------------------------------------

ATHI VEERANGGAN adalah wartawan sambilan malaysiakini di Pulau Pinang.