ANALISIS Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem memilih langkah tepat dengan menumpukan kempen BN terhadap isu-isu tempatan, kata penganalisis.

Prof Jeniri Amir ( gambar ) memberitahu Malaysiakini , Adenan tidak mahu membebankan diri dengan isu-isu nasional yang tidak relevan di Sarawak.

“Pada masa yang sama, beliau juga sedar bahawa isu-isu sebegini mempunyai kesan terhadap undi di kawasan bandar,” kata Jeniri.

Adenan semalam mencabar pembangkang, terutamanya DAP, berdepan dengan BN menggunakan isu-isu Sarawak, tanpa membangkitkan isu nasional, termasuk kontroversi 1MDB.

Dalam pilihan raya negeri Sarawak yang lalu, DAP membariskan 15 calon dan menang di 12 kawasan bandar yang mempunyai majoriti pemilih Cina.

Selain kerusi disandangnya, DAP kali ini membariskan 18 muka baru, termasuk lebih banyak calon Dayak di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Jeniri berkata, isu pembangunan luar bandar masih menjadi isu terbaik untuk memikat pemilih.

“Kuasa autonomi (Sarawak), hak tanah, kemudahan asas, ini isu-isu yang relevan yang boleh diketengahkan dalam manifesto BN.

“Politik pembangunan akan terus menjadi tumpuan (BN) kerana ini apa yang diperlukan orang ramai,” kata Jeniri.

Jeniri juga menafikan tanggapan bahawa Adenan takutkan serangan pemimpin pembangkang semenanjung kerana menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Jeniri berkata populariti Adenan kini berada di tahap tertinggi berbanding ketika pilihan raya negeri 2011 yang diterajui ketua menteri ketika itu Tan Sri Taib Mahmud.

“Adenan ada sentuhan rakyat. Siapa yang kritik beliau akan dihentam balik,” katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng Rabu lalu berkata Adenan menyekat kemasukan banyak pemimpin DAP kerana takut sokongannya terhadap Najib dimainkan menjelang pilihan raya akan datang.

Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang mengaitkan langkah itu dengan kemungkinan kesan negatif daripada kontroversi 1MDB.

Apa Dayak, Cina, Melanau mahu?

Sementara itu, penganalisis politik Jayum Jawan ( gambar ) juga senada dengan Jeniri bahawa isu nasional akan kurang mendapat perhatian majoriti pengundi.

“Bagi Dayak, isu utama adalah tanah adat,” katanya yang juga anak kelahiran Sarawak.

“Bagi Cina, mereka ambil berat tentang peluang perniagaan yang terhadap manakala Melayu Melanau pula melihat isu perpaduan kerana mahu kekal berkuasa.”

Ditanya sama ada pemimpin BN lebih memahami isu-isu yang menjadi perhatian pengundi, Jayum berkata pembangkang juga sedar perkara itu.

Bagaimanapun, kata pemegang kerusi Tun Abdul Razak di University Ohio, Amerika Syarikat itu, mereka lebih terpengaruh dengan ahli politik semenanjung.

“Mereka terikut-ikut semenanjung dan tidak ada haluan, idea sendiri untuk diketengahkan kepada rakyat,” katanya.

Ditanya keperluan Sarawak menyekat kemasukan ahli politik pembangkang semenanjung, Jayum berkata:

“Hal ini mudah bagi saya, ia ibarat tuan rumah tidak sudi menerima kunjungan.

“Orang tidak sudi, jangan datang, selesai. Carilah jalan lain nak berkempen untuk bantu rakan seperjuangan di sana,” katanya.

Sekurang-kurangnya 12 orang pemimpin DAP disekat masuk ke Sarawak. Kerajaan negeri enggan mendedahkan senarai larangan itu.

Hari penamaan calon untuk pilihan raya Sarawak ditetapkan pada 25 April dan tarikh pengundian pula pada 7 Mei.