'Ingat saya sekiranya anda tak suka calon BN'
P'RAYA S'WAK Disokong dengan populariti yang tinggi, penyandang Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menggesa pengundi ingat kepadanya sekiranya mereka tidak suka dengan calon-calon BN yang bertanding dalam pilihan raya negeri pada 7 Mei ini
Dalam pertemuan tertutup semalam dengan firma gergasi pembalakan, WTK Group, pengerusi BN Sarawak itu berkata, rakyat mahu beliau terus menerajui negeri itu.
Dakwaannya itu dilihat berdasarkan populariti 81 peratus terhadapnya menurut satu kajian oleh Merdeka Center.
"Tetapi jika anda tidak suka calon BN, anda ingat saya.
"Sebagai contoh, jika anda tidak suka (Wong) Soon Koh atau (Tiong) Thai King, anda ingat Adenan," beliau dipetik sebagai berkata oleh Borneo Post.
Bagaimanapun, Adenan berkata beliau tidak boleh memenangi pilihan raya itu sendirian.
"Tolonglah mereka kerana jika mereka kalah, saya tidak boleh jadi ketua menteri. Kita berada dalam satu pasukan dan saya tidak boleh lakukannya sendirian. "
Sebelum itu, beliau mengulangi gesaannya supaya rakyat Sarawak memberinya lagi lima tahun untuk mentadbir negeri itu.
Beliau juga menyebut 50 keputusan dasar yang telah beliau laksanakan sejak memegang jawatan ketua menteri dua tahun lalu, dan menggesa pengundi supaya keluar beramai-pada pada 7 Mei.

