Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said hari ini enggan memberi sebarang komen terhadap kemungkinan penyandang jawatan itu kini, Ahmad Razif Abdul Rahman bakal digantikan.

Kenyataan itu dibuat walaupun sebelum ini Ahmad dilaporkan memberitahu media Ahmad Razif "sedang menunggu masa" untuk diturunkan daripada jawatannya.

Ahmad yang juga ADUN Kijal juga berkata beliau memberitahu Datuk Seri Najib Razak supaya menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bagi meminta perkenan agar pertukaran dilakukan.

Beliau juga mengingatkan Ahmad Razif supaya tidak membiarkan situasi politik di Terengganu sampai ke peringkat sultan terpaksa membubarkan DUN.

Kata Ahmad pertukaran menteri besar di negeri itu dianggap isu sensitif kerana membabitkan sultan.

"Saya no comment. Ini isu sensitif yang libatkan tuanku (Sultan Mizan)," katanya kepada Malaysiakini.

Ahmad juga meminta semua pihak tidak membuat spekulasi berkenaan isu berkenaan.

Ditanya sama ada peringatan dibuatnya sebelum ini ada kaitan dengan perkembangan semasa, Ahmad menegaskan soalan itu perlu ditanyakan terus kepada pihak yang terlibat iaitu Ahmad Razif dan Najib.

"Tanya yang punya diri...tanya Najib. Ini bukan melibatkan politik...Ini antara tuanku dengan dia (Ahmad Razif)," katanya.

Semalam Ahmad Razif juga mengelak daripada menjawab soalan media berkenaan isu itu selepas selesai mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS