ANALISIS Prestasi lebih baik PKR di kawasan pedalaman Sarawak dalam pilihan raya negeri Sabtu lalu adalah kerana mereka mempunyai akar yang kuat di kawasan luar bandar, berbanding dengan DAP, kata seorang penganalisis politik.

Prestasi PKR lebih baik di kawasan luar bandar ekoran pengiktirafan jenama, kerana menurut Profesor Madya Universiti Malaysia Sarawak Andrew Aeria, simbol PKR lebih dikenali di kawasan pedalaman, tidak seperti roket (simbol DAP).

"Ini berlaku sebaliknya di bandar-bandar, di mana roket DAP mendapat pengiktirafan jenama yang lebih baik.

"PKR jauh lebih lama hadir di luar bandar Sarawak daripada DAP yang hanya muncul di sana beberapa bulan yang lalu, dan ia juga, hanya di beberapa lokaliti Impian (Sarawak DAP)," kata Aeria ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau menegaskan bahawa di segi geografinya Sarawak sangat besar dan kawasan luar bandar Sarawak mundur dari segi infrastruktur, menyebabkan projek Impian Sarawak DAP hanya dapat meliputi beberapa kawasan setempat.

Kesan projek Impian Sarawak adalah terhad berbanding dengan apa yang kerajaan yang memerintah boleh lakukan, maka katanya, rakyat mengundi BN kerana mereka sudah tahu ia akan terus membentuk kerajaan negeri.

"Mengundi DAP hanya akan melihat mereka didiskriminasi oleh BN, terutamanya jika mereka adalah pengundi luar bandar dan bergantung sepenuhnya kepada kerajaan BN," katanya.

'Perlu mendekati'

Bagi Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang pula, projek Impian Sarawak tidak pernah ditentukan mengikut kawasan pilihan raya yang parti itu merancang untuk bertanding.

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa ia lebih mengenai keperluan untuk mendekati dan menyediakan keperluan asas yang tidak disediakan oleh kerajaan, dan parti itu bukan dalam kedudukan yang mampu untuk bersaing dengan sumber-sumber kerajaan.

Bagaimanapun, beliau enggan membuat perbandingan antara DAP dan prestasi PKR dalam pilihan raya negeri di kawasan pedalaman Sarawak.

Menurutnya, DAP sangat hampir untuk memenangi Tasik Biru, tetapi usahanya telah terjejas dengan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem - yang merupakan antara pemimpin besar BN - ke kawasan berkenaan.

Penolong setiausaha publisiti DAP, Syerleena Abdul Rashid juga bersetuju bahawa pelaksanaan projek-projek itu bukan untuk mendapatkan undi tetapi untuk membantu masyarakat, walaupun dia mengakui PKR berjaya mengekalkan kerusi di kawasan pedalaman Sarawak kerana ia mempunyai sokongan yang kukuh di sana.

"(PKR mempunyai) sokongan padu penduduk tempatan. Ia mempunyai asas sokongan yang kukuh di ketiga-tiga kawasan pilihan raya (yang ditandinginya),"katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa pertandingan tiga penjuru antara DAP dan PKR telah membawa kepada kekalahan mereka, disebabkan pengundi tidak mengundi kerana kecewa dengan perselisihan tersebut.

Walaupun dia mendakwa ada yang tidak mengundi kerana berlaku pertandingan tiga penjuru, namun peratusan keluar mengundi adalah tinggi di beberapa kawasan luar bandar di mana mereka bertanding.

Di Mambong, di mana beliau turut berkempen dan juga di mana berlaku pertandingan tiga penjuru, jumlah keluar mengundi adalah 68 peratus, dan undi rosak hanya satu peratus.

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian berkata kejayaan parti itu di kawasan luar bandar adalah kerana organisasi yang semakin baik, serta menegaskan bahawa calon-calon dipilih lebih awal kali ini berbanding pilihan raya negeri sebelumnya.

Selain lebih teratur, kata Baru, isu yang dibangkitkan adalah sangat relevan, seperti isu Hak Adat Bumiputera (NCR).

"Isu NCR masih sangat relevan. Di kawasan saya, saya rasa ia masih satu isu yang relevan," katanya kepada Malaysiakini.

Baru, yang mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Ba'kelalan dengan majoriti undi yang lebih baik, juga mengakui bahawa partinya yakin bahawa ia adalah parti yang menjadi pilihan di kawasan luar bandar daripada mana-mana rakan-rakan gabungannya.

Mengenai projek Impian Sarawak DAP, Baru berkata, ada masanya projek-projek dapat menarik lebih banyak undi dan ada masanya tidak.

Pemimpin PKR itu menegaskan bahawa kehadiran yang berterusan dalam suatu kawasan tertentu dan perkhidmatan yang diberikan adalah lebih penting.

[Baca berita penuh]