Pemerhati: HARAPAN patut biarkan PAS tanding PRK
Penganalisis politik berkata, menyaksikan parti pembangkang bertanding sesama sendiri boleh menyebabkan pengundi hilang kepercayaan terhadap pembangkang, yang telah meletakkan diri mereka sebagai alternatif kepada kerajaan BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Malah, isu inilah yang dikatakan telah menjejaskan prestasi pembangkang dalam pilihan raya Sarawak baru-baru ini, di mana ia dicemari oleh parti gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) - PKR dan DAP - bertembung satu sama lain dalam pertembungan banyak penjuru.
Bagi mengelak berulangnya perkara itu, pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata HARAPAN yang berusia lapan bulan itu harus membiarkan PAS bertanding di kerusi tradisinya di pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
"Lebih baik memudahkan keadaan. Jika PAS mahu bertanding kedua-dua kerusi itu, maka lebih baik bagi pembangkang membiarkannya. Biarkan PAS bertanding sendiri dan mengukur kekuatannya sendiri," katanya kepada Malaysiakini.
"Masalah sekarang ialah kita ada AMANAH, yang melihat dirinya sebagai pengganti PAS (dalam HARAPAN)," katanya sambil menambah, walaupun dilihat bersemangat tetapi parti itu perlu melihat bahawa ia tidak mempunyai jenama politik dan jangkauan sepertimana PAS.
Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon yang juga ahli Parlimen Sungai Besar dan MP BN Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter pada 5 Mei lalu.
AMANAH telah membayangkan ia mungkin bertanding di Sungai Besar, yang dimenangi BN dengan majoriti tipis 399 undi dalam pilihan raya umum 2013.
Manakala PAS, yang berazam untuk bertanding di kedua-dua kerusi itu, telah meminta HARAPAN supaya tiak bertanding di situ.
Para pemerhati berhujah bahawa HARAPAN dan PAS perlu berunding untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN.
Jika tidak, kata Ibrahim, akan berulang pertembungan sepertimana dalam pilihan raya negeri Sarawak, yang boleh menjejaskan mood pengundi dan memberi kesan terhadap peratusan yang keluar mengundi.
Ada konsensus pembangkang
Bersetuju dengan pandangan itu, penganalisis politik Tang Ah Chai berkata kegagalan untuk bersetuju bertanding satu lawan satu mungkin melimpah ke pilihan raya umum akan datang, melainkan jika pembangkang berusaha membaiki keadaan dengan mencapai konsensus.
"Pilihan raya kecil membawa lebih signikan daripada menang atau kalah. Jika pembangkang (HARAPAN dan PAS) gagal mencapai kata sepakat, rakyat akan menyimpan keraguan terhadap mereka.
"Jika anda tidak boleh mencapai satu persefahaman dalam rundingan kerusi, bagaimana anda akan memerintah negara ini? Inilah yang akan ditanya pengundi," katanya.
Walaupun ianya, penting, Tang bagaimanapun tidak nampal adanya usaha di kalangan pembangkang ke arah mengadakan rundingan.
"Dari apa yang saya melihat, ia nampak sangat sukar (untuk mengatur pertandingan satu lawan satu)," katanya.
Penganalisis politik Liew Wui Chern lebih pesimis mengenai peluang mencapai kata sepakat seumpama itu.
"Mereka bercakap tentang pengajaran daripada pilihan raya negeri Sarawak. Tetapi, kekalahan teruk menimpa DAP dan PKR, bukan bagi PAS dan AMANAH.
"Kedua-dua PAS dan AMANAH bertanding dalam pilihan raya negeri itu, tetapi mereka tahu mereka tidak akan menang," katanya.
Liew tidak menolak kemungkinan kegagalan dalam rundingan walaupun jika ia diadakan, kerana kedua-dua parti itu nampaknya berkeras untuk bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan.

