Paling Popular
Terkini

Pakatan Harapan (HARAPAN mengumumkan Pengerusi AMANAH Sungai Besar Azhar Abdul Shukur sebagai calon pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen Sungai Besar.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu membuat pengumuman tersebut malam tadi di Dewan Sri Sekinchan, Sekinchan.

"Kita perlu seorang wakil rakyat yg memahami suara naluri petani nelayan dan penternak, faham kehidupan masyarakat supaya suara penduduk Sungai Besar akan ke parlimen nanti.

"(Kita) tak mahu calon menang tidur di parlimen. Harap dia memainkan peranan membongkar masalah dan membela rakyat," katanya.

Azhar, 50, yang berasal dari Sungai Besar merupakan seorang bekas guru dan kini menjalankan perniagaan sendiri.

Beliau pernah menjadi pengarah urusan di beberapa buah syarikat dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Kuliah Hadis Pengajian Islam di Karachi Pakistan.

Berkahwin dengan Nor'adzimah Hassanuddin, Azhar dikurniakan tiga cahaya mata.

Azhar juga pernah mempunyai pengalaman mengendalikan program bersama IKIMfm dan beberapa siri rancangan di TV9.

Turut hadir pada majlis pengumuman itu adalah Ketua Pembangkang merangkap Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat Umum AMANAH Ahmad Awang, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke, Naib presiden PKR Rafizi Ramli, Bendahari Agung PKR Tan Yee Kew, Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Saifuddin Abdullah dan lain-lain.

Dewan dipenuhi kira-kira 500 penyokong HARAPAN dan orang ramai yang menyaksikan pengumuman tersebut.

Sementara itu, Lim Kit Siang dalam ucapannya berkata pilihan raya kecil Sungai Besar penting untuk menentukan bukan sahaja masa depan Sungai Besar, tetapi sebagai referendum dari rakyat yang menuntut peletakan jawatan perdana menteri.

"Tentulah Umno akan bermula satu pergolakan mahu Najib undur (jika BN kalah PRK).

"Walaupun ada tiga penjuru tapi sebenarnya ia adalah antara BN, Umno dengan Pakatan Harapan," katanya.

Katanya, soalan yang patut ditanya oleh pengundi Sungai Besar dalam pilihan raya kecil ini adalah isu derma Najib.

Tayangan video panas

Sementara itu Rafizi pula berkata HARAPAN akan menggunakan pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar untuk membawa politik negara supaya kembali membela rakyat.

Katanya, beliau memiliki satu video yang menunjukkan mengapa pengundi di dua kawasan parlimen itu tidak patut mengundi BN.

"Saya ada satu tayangan video panas. Saya akan tayangkan ia pada minggu kedua kempen pilihan raya kecil," katanya.

Pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar akan diadakan pada 18 Jun ini dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun.

Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13, Noriah menewaskan lawannya daripada PAS, Mohamed Salleh M.Hussin dengan majoriti 399 undi.

Sementara itu Wan Azizah berkata PKR menasihati Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali tidak menghadiri majlis itu demi “menjaga” kerajaan Selangor dan hubungannya dengan PAS yang masih mempunyai wakil dalam kerajaan negeri.

Anggota parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin semalam berkata Azmin sedang berada di London untuk urusan graduasi anaknya dan akan pulang pada Ahad.

Lihat Komen
ADS