Paling Popular
Terkini

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad mendakwa Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang membazirkan masa parlimen selepas menangguhkan perbahasan Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda bidang kuasa Mahkamah Syariah.

"Kamu minta untuk beri laluan pada usul kamu, dah beri laluan tapi kamu tak nak usul dibahas.

"Kamu bazirkan masa parlimen," katanya.

Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said yang bertanggungjawab terhadap parlimen sepatutnya marah kepada Abdul Hadi apabila usul nombor 15 iaitu yang terakhir pada kertas perintah parlimen naik ke nombor satu.

"Sepatutnya (marah) tapi nampak macam semua happy.Seorang gembira kerana baca usul dan tangguh, seorang gembira kerana beri laluan," katanya.

Khalid juga berkata apa yang berlaku menyebabkan sukar untuk meyakinkan rakyat bahawa langkah Hadi itu bukan 'drama politik' menjelang pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Khalid, sementara itu, menjelaskan beliau bangun di Dewan Rakyat pada hari itu untuk mempersoalkan keputusan mengutamakan rang undang-undang persendirian melebihi urusan kerajaan.

Ini, katanya, bertentangan dengan dakwaan bahawa beliau berdiri untuk membantah usul dibawa Hadi.

"Kenapa saya berdiri dan bertanya tentang pembentangan usul itu?

"Saya berdiri supaya kerajaan boleh menjelaskan bahawa tidak ada agenda politik tersembunyi," katanya.

Khalid berkata beliau akan terus memfailkan tindakan undang-undang terhadap Berita Harian berhubung laporan muka depan pada 27 Mei yang melaporkan beliau membantah pembentangan Rang Undang-Undang itu, bersama ahli-ahli parlimen DAP lain.

"Ada niat jahat untuk membuat saya kelihatan seperti saya hamba DAP apabila pendirian saya berbeza daripada mereka.

"Isu sama ada saya bersetuju dengan Rang Undang-Undang itu tidak timbul kerana ia masih belum dibahaskan. DAP menentang atas alasan prosedur, sementara saya telah menyatakan dengan jelas bahawa saya menyokong," kata beliau.

Rang Undang-Undang bagi meminda Akta 355 bidang kuasa Mahkamah Syariah juga dirujuk sebagai "RUU hudud" kerana didakwa akan membuka jalan bagi pelaksanaan hudud di Kelantan.

Langkah itu mencetuskan bantahan ahli parlimen bukan Islam, termasuk pemimpin komponen Barisan Nasional yang mengancam untuk meletakkan jawatan jika pindaan itu diluluskan.

Lihat Komen
ADS