Kami terguris dengan kenyataan Nizar - keluarga
Anak-anak Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan balunya, Datin Mastura Mohd Yazid terguris dengan kenyataan yang dibuat oleh bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung nahas yang meragut nyawa ahli parlimen Kuala Kangsar itu.
Nizar pada ceramahnya malam Isnin lalu berkata, Allah memilih supaya pilihan raya kecil diadakan di parlimen Kuala Kangsar kerana kebiadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merampas kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat pada tahun 2009.
Bercakap bagi pihak keluarganya, anak kedua pasangan itu Wan Imar Izzat melahirkan rasa kesalnya kerana perkara seperti itu sanggup dipolitikkan.
“Saya sebagai anak kepada arwah dan Datin Mastura, nak cakap terkilan tak tau macam mana. Kami sebenarnya amat terguris.
“Sebagai seorang anak kepada seorang bapa yang telah meninggalkan kami... isu begini boleh dipolitikkan.
“Kami masih dalam proses berkabung dan bersedih dengan kehilangan arwah, jadi bila isu arwah dipolitikkan, kami sangat-sangat terguris hati,” katanya dalam nada sebak.
Sehubungan itu, Wan Imar Izzat berharap perkara seperti itu tidak lagi berulang.
“(Keluarga) kami telah menerima tohmahan, cacian dari awal lagi sebelum pengumuman pencalonan.
“Jadi kami mengharap agar semua orang boleh memberi sedikit penghormatan kepada keluarga ini. Doakan kesejahteraan bukan memberi cacian pada bulan mulia Ramadan ini,” katanya.
Ditanya sama ada wajar bagi seorang bekas menteri besar mengeluarkan kata-kata seumpama itu, Wan Imar Izzat yang berusia 25 tahun berkata beliau mahu mengulas lanjut kerana mempercayai bahawa setiap orang sebenarnya mempunyai niat yang baik terhadap keluarganya.
“Tapi sesetengah orang memang ada cara mereka sendiri dan saya tak boleh nak ulas, semua ada cara sendiri,” katanya.
Ahmad Zahid semalam ketika diminta mengulas kenyataan Nizar berkata beliau tidak terkejut dan akan mendoakan agar Allah swt menerima taubat pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) itu.
Pilihan raya kecil akan diadakan serentak di kedua-dua Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya, Wan Mohammad Khair-il dan Ahli Parlimen Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter semasa berkempen untuk pilihan raya negeri Sarawak bulan lalu.
Kuala Kangsar bakal menyaksikan perebutan empat penjuru antara balu Wan Mohammad Khair-il, Mastura, calon PAS - Dr Najihatussalehah Ahmad, calon AMANAH - Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas - Izat Bukhary Ismail Bukhary.

